SEREMBAN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di d’Tempat Country Club, Sendayan dekat sini yang dibuka sejak 5 Julai lalu akan ditutup sementara sebelum dibuka semula pada minggu hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) menstruktur semula jumlah sebenar keperluan jumlah dos vaksin Covid-19 di bawah Program PPV PIKAS di Negeri Sembilan.
“Ingin diperjelaskan bahawa langkah ini diambil untuk MITI bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 CITF dan Kementerian Sains, Teknologi Dan Alam Sekitar menstruktur semula keperluan vaksin untuk sektor industri di negeri ini.
“Ketika ini, jumlah suntikan harian adalah pada kadar sekitar 1,500 sehari di PPV PIKAS d’Tempat. Dengan pengstrukturan semula ini, adalah dijangka kadar 1,500 dos sehari boleh dipertingkatkan kepada 3,000 dos sehari bermula minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, ujar Mohamad Rafie lagi, Seramai 19,670 pekerja telah diberi suntikan dos pertama vaksin di PPV PIKAS d’Tempat dari mula ia beroperasi sehingga semalam.
“PPV PIKAS kedua di Negeri Sembilan juga akan dibuka di D’Cattleya, Senawang dan dijangka pada 2 Ogos dalam usaha untuk mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor perindustrian,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE










