Polis tidak halang misi kemanusiaan - Utusan Malaysia

Polis tidak halang misi kemanusiaan

ZAINI Jass (kanan) diiringi Jasvir Singh Ram Singh (dua dari kanan) dan Zaiham Mohd. Kahar (kiri) melakukan pemantauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Bentong di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis tidak pernah menghalang misi kemanusiaan mana-mana pihak bagi menghantar bantuan kepada golongan memerlukan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara pada ketika ini. 

Semua pihak yang menguruskan misi bantuan perlu jelas dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan perlu mendapatkan kebenaran melaksanakannya. 

Kebenaran itu daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang kemudiannya disalurkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, MKN menetapkan SOP bahawa semua misi bantuan mesti dilaksanakan oleh PKOB sama ada peringkat negeri ataupun daerah dan ia telah diselaraskan supaya penyampaiannya teratur.

“Kita ada sistem berpusat yang mengenal pasti siapa yang layak menerima bantuan agar bantuan itu disalurkan dengan lebih tersusun dan sistematik. 

“Ia juga sekali gus menyekat sebarang kemungkinan pembawaan Covid-19 daripada luar,” katanya selepas melakukan tinjauan dan menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Bentong di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar.

Semalam 10 buah kenderaan yang membawa bantuan misi kemanusiaan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) yang dalam perjalanan ke Terengganu diarah berpatah balik di SJR Plaza Tol Bentong kerana gagal menunjukkan surat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Jawatankuasa Bencana Daerah.

Sebelum itu tiga buah lori yang membawa bantuan misi kemanusiaan pendakwah terkenal, Ebit Lew turut diarahkan berpatah balik di SJR Plaza Tol Bentong kerana gagal mengemukan surat kebenaran. 

Menurut Zaini, semua pihak yang ingin menghulurkan apa sahaja bantuan perlu mematuhi SOP ditetapkan oleh MKN dalam usaha mengekang pandemik Covid-19 dan memastikan bantuan dapat diselaraskan.

Sementara itu beliau berkata, petugas-petugas di SJR yang telah melalui tempoh penugasan agak lama akibat pandemik Covid-19 masih bersemangat dan mempunyai motivasi tinggi untuk meneruskan tugasan. 

Katanya, pusingan tugas yang dilaksanakan selain dorongan dan motivasi diberikan kepada mereka secara berterusan memastikan mereka terus komited menjalankan tugas dengan baik sehingga berakhirnya pandemik Covid-19.

“Kami di Bukit Aman sentiasa prihatin turun ke padang memberi kaedah bagaimana meningkatkan motivasi dan kerajaan turut memberi elaun khas kepada petugas, kami tidak pernah terima rungutan dan kita ada ramai yang membantu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN