BELURAN: Peruntukan RM300,000 kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang membuktikan keutamaan kerajaan ketika ini adalah membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Peruntukan bakul makanan dibawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) itu jelas menunjukkan kerajaan mengenepikan perbezaan politik untuk bersama-sama memikul tanggungjawab membantu rakyat.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, polemik politik ketika pandemik hanya akan merugikan rakyat dan negara maka, fokus perlu diberikan untuk menangani penularan wabak Covid-19.
“Kerajaan mengambil pendekatan untuk terus fokus menguruskan Covid-19 secara inklusif melalui pendekatan whole of government dan whole of society dengan meletakkan kepentingan rakyat tanpa mengira siapa akan mendapat nama apabila kita berjaya memerangi pandemik Covid-19 ini,” katanya selepas penyerahan bantuan kepada nelayan di Kampung Pulau Keniogan, semalam .
Ahli Parlimen Beluran ITU turut melawat rumah nelayan yang rosak akibat kejadian ribut dan hujan lebat pada 5 Julai lalu.
Dalam lawatan itu, Ronald menyampaikan bantuan peralatan membaiki rumah melalui peruntukan Parlimen serta bantuan bakul makanan kepada 45 ketua isi rumah.
Jelas beliau, setakat ini, Pejabat Parlimen Beluran sudah mengagihkan 20,000 bantuan bakul makanan di bawah Pemulih. Bantuan itu diharap dapat membantu mengurangkan bebanan penduduk setempat.
Mengulas lanjut katanya, sebanyak 200 buah rumah nelayan akan dibaik pulih di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan bernilai RM3 juta yang akan dilaksanakan bermula Ogos ini.
Selain itu, tiga jeti nelayan di Jeti Kampung Munad II, Jeti Kampung Seri Menanti dan Jeti Kampung Keramat telah dibaik pulih dengan kos sebanyak RM150,000 manakala, 18 lagi jeti dan titian di sekitar kampung nelayan akan dibaik pulih, dinaik taraf dan dibina baharu oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Kerajaan sentiasa peka dengan kebajikan golongan nelayan yang banyak menyumbang kepada pengeluaran makanan negara.
“Justeru, kerajaan meningkatkan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) daripada RM250 kepada RM300 sebulan dan ia memberi manfaat kepada 35,000 nelayan, manakala Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) juga telah dinaikkan kepada RM250 sebulan bermula Januari lalu yang memanfaatkan 3,400 nelayan darat berdaftar.
“Kedua-dua elaun ini memberi implikasi kewangan sebanyak RM151 juta setahun kepada kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, kementerian itu akan memastikan kebajikan semua golongan sasar termasuk golongan nelayan sentiasa terbela bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan semasa pandemik ini. -UTUSAN ONLINE










