PETALING JAYA: Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim dalam Selangor tidak disambung dan tamat mengikut jadual yang ditetapkan, iaitu tengah malam ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara telah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa dan bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di kesemua mukim terlibat.

“Sidang khas MKN telah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa dan bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di semua mukim yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semua 34 mukim di Selangor itu dikenakan PKPD selama dua minggu bermula 3 Julai lalu.
Mukim-mukim terbabit ialah daerah Petaling (Petaling, Damansara, Sungai Buloh, Bukit Raja), Hulu Langat (Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang) dan Sepang (Dengkil, Labu, Sepang).
Selain itu ia turut membabitkan mukim di daerah Gombak (Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang), Kuala Langat (Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra, Batu).
Selain itu, mukim di daerah Klang yang terbabit ialah Kapar dan Klang serta Kuala Selangor (Ijok, Bestari Jaya, Jeram), Hulu Selangor (Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali). – UTUSAN