IPOH: Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang terlalu lama menyebabkan peniaga semakin tertekan kerana tiada sumber pendapatan untuk kelangsungan hidup.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Negeri Perak, Asmadi Teh berkata, rata-rata peniaga bukan keperluan ibarat hilang punca dengan ada antara mereka terpaksa gulung tikar.
Katanya, tekanan tinggi yang dihadapi golongan itu juga dibimbangi akan menyebabkan tindakan luar kawal ekoran tidak mampu menangani masalah sepanjang pandemik Covid-19.
“Rakyat semakin tertekan dengan keadaan sekarang, tempoh PKP yang tidak tahu bila akan tamat menyebabkan banyak perniagaan merosot hingga ada yang terpaksa gulung tikar.
“Perlu diakui bahawa sekarang adalah tempoh sukar untuk peniaga. Kehilangan pendapatan amat membebankan dan rata-rata mereka kini berjuang untuk diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Asmadi, walaupun operasi restoran kini dilanjutkan sehingga pukul 10 malam namun ia tidak memberi perbezaan kerana bilangan pembeli tetap berkurangan kerana mengambil pendekatan berjimat.
“Sekarang, orang ramai sudah tiada wang. Jika peniaga buka kedai pun, pendapatan mereka tetap merosot kerana tiada pembeli.
“Dalam tempoh ini, tekanan yang dihadapi mereka memang tinggi namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana PKP pun tidak tahu bila akan berakhir,” katanya.
Menurut beliau, bagi mengatasi tekanan yang dihadapi peniaga, kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih proaktif bagi membantu usahawan dan peniaga kecil serta penjaja agar mereka boleh terus bernafas dalam keadaan ekonomi yang semakin terjejas.
“Bukan sahaja peniaga yang terjejas, malah pengusaha hotel pun menerima nasib yang sama. Mereka yang bekerja dalam sektor perhotelan ramai dibuang kerja manakala pemandu-pemandu teksi semakin hilang pendapatan.
“Kita berharap kerajaan boleh lakukan sesuatu. Bantulah mereka yang terjejas ini kerana kita tidak mahu ada dalam kalangan mereka bertindak di luar kawalan,” katanya. -UTUSAN ONLINE