KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 1990 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) yang bertujuan mengawal selia aktiviti import serta eksport elektrik termasuk tenaga hijau.
Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik itu diluluskan melalui undian suara selepas perbahasan 12 Ahli Parlimen merangkumi blok kerajaan dan pembangkang.
Pindaan ke atas Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) itu melibatkan 16 pindaan bagi mengawal selia pihak pengimport dan pengeksport elektrik.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, eksport elektrik hanya akan dilakukan sekiranya terdapat bekalan berlebihan dan mencukupi untuk keperluan domestik.
“Ketika ini, margin simpanan kita berada pada tahap optimum iaitu antara 23 peratus hingga 28 peratus. Keutamaan sentiasa diberikan kepada bekalan tenaga domestik,” katanya ketika menggulung.
Menurutnya, aktiviti import dan eksport tidak akan menjejaskan tarif elektrik pengguna domestik di Semenanjung kerana ia dilaksanakan berasaskan urus niaga antara perniagaan.
Akmal Nasrullah berkata, penalti berat yang dikenakan terhadap kesalahan berkaitan import dan eksport elektrik adalah berlandaskan undang-undang seperti Akta Perdagangan Strategik 2010.
“Kita menganggap perdagangan elektrik sebagai sesuatu yang strategik untuk negara. Walaupun ia kelihatan berat, tujuan utama adalah untuk mencegah kesalahan melibatkan pelesenan, import dan eksport,” katanya.
Pindaan terhadap Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) memasukkan Seksyen baharu 22D yang melarang pengimportan atau pengeksportan elektrik tanpa lesen.
Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM30 juta, penjara sekurang-kurangnya 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mana-mana pengimport atau pengeksport elektrik berlesen yang tanpa alasan munasabah melanggar mana-mana syarat lesen di bawah Seksyen 22D turut melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Seksyen 50C turut dipinda bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Tenaga untuk mengeluarkan garis panduan berhubung import, eksport serta atribut hijau tenaga boleh diperbaharui.
Sementara itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) yang bertujuan meminda Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (Akta 610) turut diluluskan selepas dibahaskan oleh empat Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Pindaan tersebut melibatkan Seksyen baharu 14(1) yang memberi kuasa kepada Suruhanjaya Tenaga untuk memantau aktiviti import dan eksport elektrik.
“Rang undang-undang ini penting untuk menjamin keselamatan tenaga negara. Kita juga perlu memastikan keperluan domestik sentiasa dipenuhi,” katanya. – UTUSAN










