KOTA KINABALU: Seramai 18,000 orang pekerja industri di Sabah dijangka akan menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) bermula hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha memberikan vaksin melalui PIKAS kepada pekerja industri dalam sektor perkilangan dan pembuatan akan membantu mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Sabah.
Beliau berkata, di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) ini sahaja terdapat 18,000 orang pekerja industri dari 407 kilang pembuatan berdaftar menyertai program vaksinasi ini.
Pada peringkat awal ini, pemberian vaksin melalui PIKAS hanya meliputi lima daerah iaitu Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar dan Tuaran.
“Ini merupakan usaha kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memastikan pekerja sektor perkilangan dan pembuatan diberikan vaksin,” katanya semasa melawat PPV PIKAS di SICC hari ini.
Menurut Hajiji, pelaksanaan PIKAS di Sabah akan membantu mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok dalam sektor pembuatan dan ia sekaligus akan membantu memulihkan ekonomi negeri Sabah dengan kadar segera.
Jelas beliau, melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma, namun, pihak swasta akan menguruskan PPV serta penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.
“Semua kos pengurusan PPV akan ditanggung oleh pihak swasta untuk menjimatkan peruntukan kerajaan,” katanya.
Terdapat dua jenis PPV di bawah PIKAS iaitu PPV penggunaan umum yang melibatkan pusat konvensyen dan hotel manakala PPV di tapak (on-site) pula adalah PPV di premis kilang.
Bagaimanapun, katanya, setiap majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pemberian vaksin kepada pekerja dan mereka tidak dibenarkan memotong gaji pekerja.
Biarpun PIKAS dilaksanakan, namun, kerajaan masih memberikan keutamaan vaksinasi kepada golongan paling rentan dan individu yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Hajiji berkata, syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar secara dalam talian melalui www.miti.gov.my.
Dibawah inisiatif PIKAS, kerajaan menyasarkan untuk memberikan vaksin kepada sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang suku ketiga tahun ini. -UTUSAN ONLINE










