PADANG TERAP: Lebih 20 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas kira-kira 50 hektar di Padang Nyior di sini terjejas apabila sawah mereka kekurangan bekalan air berikutan sistem pengairan yang kurang memuaskan.
Pesawah terbabit mendakwa kawasan sawah tersebut bergantung kepada sebuah parit sepanjang 600 meter bagi menakung air hujan untuk disalurkan ke dalam sawah tetapi tidak dapat berfungsi secara efisien kerana tidak mempunyai kunci air.
Seorang pesawah, Mazli Isa, 56, berkata, sistem pengairan di kawasan sawah itu kurang memuaskan kerana terletak di luar pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Menurutnya, masalah tersebut berlaku setiap kali musim kemarau berikutan parit berkenaan tidak dapat menakung air apabila mengalir ke Sungai Sari berdekatan kerana tidak mempunyai kunci air.
“Keadaan itu menyebabkan petani terpaksa tanggung kerugian selepas pengeluaran hasil padi terjejas,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi pesawah, Abd. Malik Mat Ali, 54, pula berkata, setiap kali musim kemarau petani akan mengeluh kerana bekalan air yang tidak mencukupi.
Katanya, kekurangan air di kawasan sawah itu menyebabkan proses menanam padi terbantut termasuk menabur benih dan baja.
“Masalah saliran air yang berlarutan itu menyebabkan banyak kawasan sawah itu tidak diusahakan dan terbiar,” katanya.
Menurutnya, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pernah mengambil inisiatif dengan mendalamkan parit berkenaan namun ia tetap tidak dapat berfungsi sepenuhnya untuk menakung air.
“Pesawah merayu supaya kerajaan dapat membantu mereka dengan membina kunci air agar air hujan dapat ditakung untuk kegunaan pada musim kemarau.
Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Shuhaime Abd. Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti masalah yang dihadapi oleh pesawah yang berada di luar kawasan MADA itu. – UTUSAN ONLINE