‘Pesakit kami lebih penting’ - Utusan Malaysia

‘Pesakit kami lebih penting’

WARGA kerja HRPZ II, termasuk doktor kontrak bertugas seperti biasa hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mogok membabitkan kumpulan doktor kontrak yang diuar-uarkan akan dilakukan di pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini tidak ‘menjadi’ sebagaimana dirancang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati semua kakitangan HRPZ II sibuk bertugas di unit masing-masing manakala seorang doktor kontrak yang enggan dikenali mengakui secara sukarela memilih untuk tidak menyertai hartal itu.

“Sejujurnya saya mahu suara kami didengari namun, bagi saya, tugas hakiki serta tanggungjawab kepada pesakit lebih penting berbanding mogok,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut.

Terdahulu, dalam notis Gerakan Doktor-Doktor Kontrak Malaysia yang beredar di aplikasi WhatsApp sejak semalam, HRPZ II disenaraikan sebagai lokasi tunggal penganjuran hartal tersebut di Kelantan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun tetap menempatkan anggota berkawal di pekarangan hospital tersebut sebagai langkah berjaga-jaga dan mengelakkan perkara di luar jangkaan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, terdapat 472 doktor kontrak di Kelantan, dengan satu pertiga mereka bertugas di hospital dan selebihnya di pejabat-pejabat kesihatan daerah.

“Kita terlebih dahulu telah mengadakan perbincangan dengan kesemua doktor kontrak yang ada di Kelantan.

“Mereka memang tidak bercadang meninggalkan pesakit atau mengabaikan tugas semata-mata untuk terlibat dengan hartal yang sepatutnya dilakukan hari ini,” katanya kepada pemberita di lobi Pusat Rawatan Harian HRPZ II di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, sebagai doktor, golongan profesional tersebut mempunyai prinsip dan integriti, selain sedar mereka wajib mengutamakan kebajikan pesakit melebihi kepentingan peribadi.

“Mogok yang dirancang ini mungkin ada sebabnya sendiri dan saya menyerahkan perkara ini kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut tanpa mengabaikan kebajikan mana-mana pihak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN