KUALA LUMPUR: Karnival Antarabangsa Pancevo di Belgrade yang masuk kali ke-15 yang berakhir Sabtu lalu berjaya memperkenal dan melonjakkan nama Malaysia di Serbia dan rantau Balkan.
Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Malaysia di Belgrade, Khairul Tazril Tarmizi berkata, program itu juga menjadi platform utama Malaysia memperkenalkan budayanya yang menarik dan pelbagai sekaligus menambat hati masyarakat negara tersebut.
Katanya, karnival tersebut adalah antara acara kebudayaan yang terbesar dan terlama di Serbia yang termasuk dalam salah satu acara bagi kalendar tahunan Persekutuan Karnival Bandar-bandar di Eropah (FECC).
“Karnival Antarabangsa Pancevo merupakan antara platfom terbaik di Serbia mahupun di rantau Balkan bagi Malaysia mempamerkan kekayaan kebudayaannya melalui tarian.” Kata Khairul Tazril Tarmizi kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di Belgrade.
Sempena meraikan 15 tahun kerjasama antara Kedutaan Besar Malaysia di Belgrade, Serbia dan Karnival Antarabangsa Pancevo menerusi penyertaan tahunan kumpulan kebudayaan Chenderawasih, FECC turut menganugerahkan pingat penghargaan kepada Khairul Tazril.
Karnival yang telah memasuki edisi ke-19 penganjurannya tahun ini diadakan pada 2 hingga 3 Julai lalu.
Ia dianjurkan oleh Association of ‘Friends of Pancevo’ dengan kerjasama Kementerian Perdagangan, Pelancongan dan Komunikasi serta pihak berkuasa tempatan Serbia.
Khairul Tazril berkata, karnival-karnival di Serbia adalah acara tahunan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh masyarakat setempat.
“Persembahan kebudayaan dari Malaysia adalah antara persembahan yang sangat diterima baik oleh masyarakat setempat.
“Ia juga merupakan salah satu wadah untuk Malaysia terus menampakkan ‘kehadiran’nya di bumi Serbia,” katanya.

Kumpulan Chenderawasih membuat pelbagai persembahan kebudayaan Malaysia sejak penubuhannya pada 2004. Penyertaan kumpulan yang dianggotai oleh warga negara Serbia ini telah mengangkat seni dan budaya Malaysia yang bukan sahaja di negara ini tetapi juga di rantau Balkan.
Mengenai anugerah yang diterimanya, Khairul Tazril berharap ia menjadi titik tolak kerjasama yang berterusan selain dapat menyumbang kepada peningkatan hubungan baik antara kedua-dua negara.
Dalam pada itu, berikutan situasi pandemik yang semakin pulih mulai April 2021, Kerajaan Serbia telah meningkatkan had jumlah berkumpul bagi satu-satu acara dan membenarkan acara-acara umum yang melibatkan penyertaan masyarakat dalam kuantiti yang ramai berdasarkan kes.
Ia berikutan jumlah kes harian yang rendah dan pada masa yang sama proses suntikan vaksin telah mencapai lebih daripada 50% dan masih dipergiatkan.










