KANGAR : Perlis dijangka mencapai 40 peratus dalam kalangan penduduknya menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 pada bulan depan, sekali gus memenuhi kriteria beralih ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) negeri, Azman Mohd. Yusof memberitahu, keyakinan itu berdasarkan peningkatan dos pemberian vaksin pada Julai iaitu sebanyak 3,000 sehari berbanding hanya 2,500 hingga 2,700 sebelum ini.
Malah, katanya, kemasukan vaksin ke dalam negara adalah lebih tinggi pada bulan ini dan pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan merasionalisasikan mengikut keperluan setiap negeri.
“Pemberian bukan berdasarkan saiz negeri dan populasi penduduk, tetapi, mengikut keupayaan perkhidmatan pemberian vaksin melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di tiga buah pusat berkenaan di Perlis termasuk di klinik-klinik swasta sekitar negeri ini.
“Kalau mengikut keupayaan PPV negeri ini adalah 3,500 sehari, tetapi, kami sedar negeri lain juga ada membuat permohonan vaksin ini.
“Cuma, kami berharap, kadar itu tidak dikurangkan terlalu banyak,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran e-Book Rahsia Perlis Perangi Covid-19 hasil cacatan beliau di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Tambah Azman, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga menyasarkan Perlis mencapai 51 peratus penduduk menerima dua dos vaksin menjelang September.
Menurutnya, sehingga kini, bilangan keseluruhan penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua adalah sebanyak 69,927 ataupun 27.43 peratus.
Mengulas mengenai pelancaran e-Book Rahsia Perlis Perangi Covid-19, Azman berkata, beliau berharap buku yang merupakan catatan sepanjang pandemik Covid-19 khususnya di Perlis sejak tahun lalu itu boleh digunakan sebagai panduan.
“Perlis juga pernah dikritik dahulu dalam menangani wabak ini. Bagaimanapun, semua usaha yang dilakukan di negeri ini telah difailkan termasuk proses dan kerjasama daripada semua pihak,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










