SHAH ALAM: Segelintir pemandu bas di Selangor dikesan masih lagi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila membawa penumpang melebihi jumlah dibenarkan dalam satu masa.
Perkara itu dapat dilihat menerusi dua kompaun yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor kepada pemandu dalam Operasi (Op) Patuh Covid-19 yang dilaksanakan jabatan tersebut, sejak 13 Julai lalu.
Pengarahnya, Nazli Md. Taib berkata, bagi kes pertama pada 14 Julai lalu, seorang pemandu bas kilang telah membawa 30 orang penumpang dengan sepatutnya, dia hanya dibenarkan membawa 22 penumpang sahaja.
“Bagi kes kedua pula iaitu pada hari ini, seorang pemandu bas ekspres pula membawa 19 penumpang walaupun dalam ketika ini, bas tersebut hanya boleh membawa 14 penumpang sahaja.
“Untuk kes pertama, kita telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,000 kepada syarikat pemandu tersebut manakala untuk kes kedua, kompaun sebanyak RM5,000 dikeluarkan ke atas pemandu bas,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Ops Patuh Covid-19 JPJ Selangor di Persiaran Budiman, Seksyen 25, di sini hari ini.
Selain kesalahan jumlah penumpang, menurutnya, pihaknya mendapati beberapa syarikat yang tidak menyediakan cetakan kod QR MySejahtera serta alat pemeriksa suhu badan pada bas mereka.
Dalam masa sama, beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat supaya menyediakan kod QR dan alat pengimbas suhu sekiranya tidak mahu dikenakan kompaun oleh pihak JPJ Selangor.
“Dalam operasi hari ini, sebanyak 36 kesalahan jalan raya dikenal pasti daripada 188 kenderaan yang kita periksa.
“Daripada jumlah tersebut, 23 kesalahan kerana tiada insurans kenderaan manakala 13 kesalahan lagi disebabkan tiada lesen memandu,” katanya.
Sehingga hari ini, Nazli berkata, pihaknya telah membuat 374 pemeriksaan di seluruh Selangor sepanjang operasi tersebut dilaksanakan.- UTUSAN ONLINE










