Pelaksanaan PPN tunjuk hasil positif - Utusan Malaysia

Pelaksanaan PPN tunjuk hasil positif

RONALD Kiandee (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang belia yang menyertai tanaman cili bara dan halia organik di PPK Beluran, Sabah hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan memastikan setiap inisiatif di bawah pakej ekonomi bagi sektor agromakanan sampai kepada golongan sasar.

Langkah ini bagi memastikan kelangsungan setiap peringkat rantaian makanan agar rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pelbagai bantuan bersasar di bawah pakej-pakej ekonomi disediakan bagi membantu pengusaha sektor agromakanan yang terkesan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Beliau berkata, ketika ini, Program Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank yang memperuntukkan bantuan RM850juta sedang giat dilaksanakan. Ia termasuk RM350 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan RM500 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

“Justeru, usahawan mikro dan komuniti B40 dalam sektor pertanian dan industri makanan yang terjejas akibat daripada pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digalakkan untuk memohon kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan di bawah Agrobank,” katanta selepas penyerahan kit tanaman lada bara dan halia organik kepada belia sempena lawatan kerja di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran, hari ini.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, usaha-usaha yang sedang dilaksana kerajaan mula menampakkan hasil yang positif apabila tujuh negeri mula beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Hari ini, Sabah juga mula beralih kepada Fasa 2 PPN berikutan nilai ambang yang ditetapkan dalam tiga indikator utama PPN tercapai.

Malah, katanya, Malaysia telah memenuhi nilai ambang pertama PPN iaitu 10 peratus penduduk di negara ini sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 yang lengkap.

Jika dilihat kadar pemberian vaksin harian juga berjaya mencatatkan lebih 300,000 suntikan dan ia melangkaui sasaran awal. Semalam, jumlah pemberian vaksin adalah 376,909 dos iaitu jumlah suntikan tertinggi pernah direkodkan.

Menjelang hujung Ogos, dijangka 30 hingga 40 peratus populasi penduduk di negara ini sudah menerima vaksin yang lengkap bagi membolehkan imuniti kelompok dicapai menjelang akhir tahun ini seperti digariskan dalam PPN.

“Segala usaha yang dirancang kerajaan berada di landasan yang tepat dan kerajaan yakin dengan kerjasama serta sokongan rakyat kita akan dapat melandaikan lengkok jangkitan Covid-19 sekaligus keluar secepat mungkin daripada pandemik ini.

“Tumpuan utama kerajaan hanya ingin mengeluarkan negara secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara demi kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Pada majlis sama, Ronald turut menyampaikan kit tanaman cili bara dan halia organik kepada 660 belia dari 30 buah kampung dan mereka turut diberikan kursus asas dan bimbingan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN