Pekerja Pos Rider mohon pembelaan - Utusan Malaysia

Pekerja Pos Rider mohon pembelaan

Pekerja kontrak, Mohd Noh Ajis, 38, kecewa setelah diberhentikan kerja dengan membuat bantahan di hadapan cawangan Pos Laju di Jalan Tasek Utama 50, Ayer Keroh, Melaka. – utusan/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 23 pekerja Pos Rider Melaka meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) membuang pekerja dalam tempoh kritikal, malah, gagal memberikan notis pemberhentian perkhidmatan selama 14 hari seperti ditetapkan dalam kontrak.

Menurut salah seorang Pos Rider, Muhammad Yusuf Ashraf Ali, 25, mereka hanya menerima notis tersebut pada malam 21 Jun lalu yang memaklumkan kontrak kerja akan ditamatkan pada 1 Julai.

Katanya, seramai 23 Pos Rider menerima notis yang sama dan kini bukan sahaja hilang punca pendapatan, namun, terpaksa menanggung hutang gara-gara membeli van bagi menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Dalam surat itu sendiri ada menyebut mengenai tempoh pemberhentian berkuatkuasa iaitu selepas 14 hari notis, namun, kami menerimanya pada 21 Jun dan mempunyai sembilan hari untuk mencari kerja baru.

“Kami sangat kecewa dengan tindakan Pos Malaysia kerana bukan sahaja membuang kami dengan notis singkat, malah, tergamak melakukannya pada waktu kami bergelut untuk teruskan kehidupan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Hub Pos Laju Ayer Keroh di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Yusuf turut meluahkan, dia buntu untuk mencari jalan penyelesaian kerana masih belum mendapat peluang pekerjaan baharu, malah,  masih dibebani hutang van yang dibelinya itu.

“Ramai yang berani membuat keputusan untuk membeli van dan menanggung hutang kerana yakin dengan peluang diberikan. Tidak sangka sekarang kami dibuang begitu sahaja hanya kerana mereka mendakwa barang semakin susut.

“Saya kini perlu membayar hutang van dan isteri pula tengah sarat mengandung anak sulung kami. Saya minta agar Pos Malaysia pertimbangkan semula keputusan mereka, setidaknya buanglah kami selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), boleh kami merantau ke luar mencari rezeki untuk keluarga,” pintanya sayu.

Sementara itu, Muhammad Naim Ghani, 29, turut meluahkan perkara sama dan mendakwa mereka sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan dan imej Pos Malaysia dengan memastikan syarikat penghantaran berkenaan kekal relevan.

Sementara itu di Johor, pekerja Pos Rider meluahkan rasa kecewa kerana seolah-olah dipergunakan syarikat berkenaan ketika menawarkan kontrak semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu sebelum ditamatkan bermula semalam.

Salah seorang Pos Rider, Shahfezan Ali, 41, memberitahu, perkara yang dikesalkan adalah ketika kontrak berkenaan ditawarkan pihak pengurusan memberi bayangan ia adalah program jangka masa panjang dan bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.

SHAHFEZAN ALI

Katanya, disebabkan yakin dengan program berkenaan, rata-rata Pos Rider membuat pembelian kenderaan jenis van untuk mengikuti program berkenaan.

“Saya sendiri membeli van second-hand dengan membuat pinjaman wang bersama agensi Tekun Nasional untuk mengikuti program ini. Namun hanya selepas setahun lebih, kontrak kami ditamatkan sedangkan modal telah kami keluarkan untuk menyediakan keperluan bagi mengikuti syarat ditetapkan Pos Malaysia.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya