Pakai Jalur Gemilang ke PPV - Utusan Malaysia

Pakai Jalur Gemilang ke PPV

MD. RAHIM Maskop hadir ke PPV UiTM Lendu, Alor Gajah, Melaka lengkap berpakaian serta bertanjak Jalur Gemilang untuk menerima vaksin dos kedua. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pesara tentera membawa semangat kesukanan menyokong para atlet negara dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 sehingga ke pusat pemberian vaksin (PPV) apabila hadir berpakaian serta bertanjak Jalur Gemilang di PPV Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu di sini, hari ini.

Kemunculan Md. Rahim Maskop, 52, kira-kira pukul 9.30 pagi tadi menggamit perhatian orang ramai yang turut mengambil peluang merakamkan gambar kenangan bersamanya pada hari pengambilan vaksin.

Menurutnya, kedatangannya ke PPV tersebut adalah bagi dos kedua dan mengambil peluang berkongsi semangat kesukanan dan patriotisme dengan orang ramai.

“Sempena Sukan Olimpik Tokyo 2020, saya ingin menyemarakkan semangat kesukanan walaupun kini kita terpaksa berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Saya menzahirkan semangat ini kepada semua atlet negara kita, khususnya kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang yang akan berentap pada 4 Ogos ini bagi acara pecut dan seterusnya keirin,” katanya ketika ditemui di PPV UiTM Lendu di sini, hari ini.

Tambahnya, dia amat meminati sukan berbasikal, malah turut menjadi penggerak kumpulan basikal klasik di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, baju Jalur Gemilang itu dijahit sendiri oleh isterinya, Zurinah Ketol, 54, yang mengambil masa selama seminggu.

“Tanjak ini dihasilkan daripada lima helai bendera Jalur Gemilang yang digabungkan mengikut kreativiti.

“Potongan baju dan seluar ini juga dijahit dengan berhati-hati supaya kedudukan bulan sabit dan bintang tidak berada pada bahagian punggung atau di bawah kaki,” jelasnya.

Katanya, peristiwa memakai pakaian Jalur Gemilang di PPV itu akan menjadi kenangan manis buat dirinya sekelurga dan berharap orang ramai terus menyemai semangat patriotisme terutama menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 pada 31 Ogos depan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya