Najib, Guang Eng ucap selamat hari lahir kepada Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Najib, Guang Eng ucap selamat hari lahir kepada Dr. Mahathir

Dr. Mahathir
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun kelahirannya di usia 96 tahun hari ini.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang berkecimpung dalam arena politik tanah air sehingga menjadi perdana menteri dua kali, beliau masih teguh berdiri sebagai negarawan unggul.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menerima ucapan daripada pelbagai pihak dan pemimpin-pemimpin politik termasuklah kerajaan.

Malah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi individu sukar dimaafkan Dr. Mahathir akibat beberapa kesilapan yang dilakukan semasa mentadbir negara di bawah Barisan Nasional (BN) turut memberi ucapan sama.

Dalam satu pautan ringkas di Facebooknya, Najib mengucapkan selamat ulang tahun kepada Dr. Mahathir dan mendoakan kesejahteraan kepada Ahli Parlimen Langkawi itu.

Kiriman itu disertai dengan cetakan skrin berita bertajuk ‘Biar apapun, Najib adalah puncanya’ beserta gambar yang menunjukkan kedua-dua pemimpin itu saling bertentangan.

“Selamat ulang tahun kelahiran ke-96. Moga dikurniakan nikmat kesihatan yang baik serta limpahan ketenangan dan keamanan,” katanya.

Kiriman itu mendapat 43,000 tanda suka, 3,300 komen dan 649 perkongsian.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga bekas rakan sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) turut memberi ucapan sama kepada Dr. Mahathir di Facebooknya.

“Selamat ulang tahun kelahiran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Semoga dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan. #HappyBirthday,” katanya Guan Eng.

Timbalan Naib Presiden Pejuang, Senator Datuk Marzuki Yahya juga mengucapkan selamat ulang tahun kepada Dr. Mahathir dengan menggelarnya sebagai ‘ayahanda’.

“Saya mendoakan semoga ayahanda Tun Dr. Mahathir Mohamad sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia serta kekuatan dalam memimpin kami dan dipermudahkan dalam setiap urusan di dunia dan di akhirat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN