Minuman keras, rokok bernilai RM231,760 dirampas - Utusan Malaysia

Minuman keras, rokok bernilai RM231,760 dirampas

MINUMAN keras dan rokok tanpa cukai yang disembunyikan di sebuah rumah di Kampung Manduing Botition, Beluran semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELURAN: Taktik seorang peniaga menjadikan rumah sebagai tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tanpa cukai berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Manduing Botition.

Ia susulan serbuan yang dibuat di kedai runcit milik lelaki berusia 27 tahun yang didapati menjual minuman keras dan rokok tanpa cukai dalam operasi pada pukul 1 petang semalam.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kedai di Kampung Tongod Pamol, pasukan PGA Beluran menemukan 986 botol dan 144 tin minuman keras bersama 2,470 kotak rokok tanpa cukai dijual di kedai runcit berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku menyimpan bekalan arak dan rokok untuk dijual itu di sebuah rumah di sebuah kampung lain.

“Dengan panduan arah daripada suspek, pasukan PGA menyerbu sebuah rumah di Kampung Manduing Botition yang menjadi tempat penyimpanan minuman keras dan rokok tersebut.

“Semasa serbuan kedua ini, sebanyak 242 tin minuman keras dan 9,580 rokok pelbagai jenama ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah keseluruhan rampasan minuman keras dan rokok dalam kedua-dua serbuan ini bernilai RM231,760 termasuk cukai.

Jelas Mohd Abduh, suspek dan barang rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.

Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN