Lembaga Disiplin boleh ambil tindakan ke atas Zahid - Utusan Malaysia

Lembaga Disiplin boleh ambil tindakan ke atas Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Disiplin UMNO boleh mengambil tindakan ke atas Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berikutan pengakuan yang dibuat berhubung audio perbualan antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suaranya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nadzri berkata, tindakan Ahmad Zahid itu secara jelas melanggar ketetapan parti dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu yang memutuskan dasar ‘No Anwar, No DAP’.

Apatah lagi katanya, pengakuan beliau menandatangani surat menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri termasuk adanya usaha mendapatkan sokongan daripada ahli Parlimen UMNO tentang perkara itu turut menjadi satu kesalahan di peringkat parti.

“Tindakan disiplin boleh diambil terhadap Ahmad Zahid, maka terpulang kepada Lembaga Disiplin UMNO sama ada apakah tindakan boleh diambil daripada perbuatan Presiden tersebut.

“Bagaimanapun, ini sudah tentu memakan masa juga kerana sudah pasti Lembaga Disiplin perlu menerima laporan daripada ahli-ahli UMNO yang merasakan mereka sudah dikhianati Presiden sendiri daripada perlakuan Presiden tersebut,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Achmad Dzariean berkata, sekiranya Ahmad Zahid berjiwa besar, beliau harus tampil ke depan secepat mungkin untuk membuat penafian atau pengakuan secara terbuka sama ada benar-benar terlibat dalam perbualan bersama Anwar itu.

Ini kerana katanya, kalau dibiarkan perkara tersebut berterusan, ia boleh memberikan impak kepada parti sekali gus UMNO akan dianggap gila kuasa.

“UMNO akan dilabel sebuah parti yang sentiasa berpolitik tidak mengira sensitiviti yang sedang berlaku dalam negara ketika tempoh pandemik, di saat kebajikan rakyat semakin terancam.

“Ahmad Zahid seharusnya bersikap gentleman mengambil tindakan ke depan dan membersihkan sama ada perkara itu satu tuduhan sahaja atau benar-benar berlaku untuk memastikan imej beliau tidak tercalar dan tidak melibatkan parti,” katanya.

Kelmarin, sumber Majlis Tertinggi (MT) mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ahmad Zahid mengakui suara di dalam rakaman telefon yang tular bersama Presiden PKR itu sebelum ini adalah suaranya.

Kata sumber itu, Presiden parti turut membuat pengakuan telah menandatangani surat menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri semasa pertemuan bersama dengan ahli-ahli Parlimen UMNO di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di ibu negara.

Ramai pemimpin UMNO membuat gesaan agar Ahmad Zahid melepaskan jawatan demi kelangsungan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terbaharu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membuat gesaan itu atas alasan Ahmad Zahid tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahli MT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut membuat desakan sedemikian dan berkata, sudah tiba masanya Ahmad Zahid meletak jawatan sekiranya beliau berjiwa besar untuk melihat parti itu terus menjadi harapan rakyat khususnya orang Melayu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×