KOTA KINABALU: Hasrat ingin menyelamatkan enjin sangkut bertukar menjadi tragedi apabila seorang lelaki ditemukan lemas ketika cuba mengambil enjin sangkut yang terjatuh di laut berhampiran Kampung Benoni, Papar dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.29 petang semalam mangsa, Muhamad Hasyidan Haris,27, difahamkan keluar bersama dua rakannya untuk memancing di kawasan bagang di perairan Papar.
Bagaimanapun, ketika menghampiri muara Sungai Benoni enjin sangkut bot yang digunakan dikatakan terjatuh ke dalam laut, lalu mangsa terus terjun bagi mencari enjin berkenaan.
Tetapi, mangsa dikatakan tidak muncul semula dipermukaan air dan dipercayai dihanyutkan arus deras.
Dua rakan mangsa kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan untuk mencari rakan mereka yang hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 3.29 petang semalam dan sepasukan pegawai dan anggota terus digerakkan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kejadian itu benar berlaku dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan selepas menerima maklumat terperinci daripada rakan mangsa.
“Pihak kami menurunkan bot untuk operasi menyelamat atas air bagi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas.
“Namun, operasi SAR selama sejam di lokasi mangsa dilihat pada kali terakhir tidak menunjukkan tanda-tanda positif keberadaan mangsa.
“Operasi SAR kemudian ditangguhkan pada pukul 7 malam berikutan keadaan semakin gelap dan lautan yang semakin bergelora,” katanya.
Bagaimanapun, mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 6.20 pagi tadi oleh orang awam dan pasukan bomba terus bergegas ke lokasi mangsa ditemukan.
Tambah beliau, mayat mangsa ditemukan terdampar di pantai berhampiran Jambatan Benoni pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa menyelam.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.- UTUSAN ONLINE










