KOTA KINABALU: Pengagihan bekalan vaksin yang tidak seimbang menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pemimpin Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, Kerajaan Pusat sepatutnya bersikap lebih adil dalam mengagihkan vaksin ke negeri ini.
Beliau berkata, negeri ini mempunyai seramai 2.76 juta orang penduduk yang layak untuk menerima vaksin.
Namun, Sabah masih jauh ketinggalan dalam pemberian vaksin Covid-19 berbanding negeri lain berikutan masalah kekurangan bekalan.
Setakat 17 Julai, pemberian vaksin di Sabah hanya 13 peratus daripada penduduk yang layak divaksin dan ia membabitkan 358, 592 orang.
Melihat perkembangan ini, Sabah memerlukan kira-kira 1.49 juta dos vaksin bagi tempoh dua bulan ini bagi membolehkan Sabah mencapai 60 peratus penduduk divaksin dengan kadar segera.
“Saya melihat kerajaan pusat tidak berlaku adil dalam pengagihan vaksin ke Sabah, sekaligus ia memperlihatkan sistem pengurusan vaksinasi yang lemah.
“Kerajaan Pusat perlu lebih telus dalam proses agihan bekalan vaksin kerana ketika ini, masih ramai rakyat Sabah belum menerima tarikh janji temu vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Jelas Jafry, hanya melalui proses vaksinasi sahaja mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi dan sektor pelancongan di Sabah.
Bagi membuka semula sektor pelancongan, kerajaan negeri perlu memastikan 60 peratus penduduk di negeri ini sudah menerima vaksin yang lengkap.
Malah katanya, ekonomi Sabah terlalu bergantung kepada sektor pelancongan maka, pembukaan sektor ini akan membolehkan proses pemulihan ekonomi di negeri ini dapat dipercepatkan.
Sekiranya imuniti berkelompok mampu dicapai menjelang Oktober, Jafry yakin sektor pelancongan domestik boleh dipulihkan dengan pantas. Apatah lagi, sekiranya sempadan negara mula dibuka bagi menerima kedatangan pelancong antarabangsa.- UTUSAN ONLINE










