KUALA SELANGOR: Peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri pembangkang seperti Selangor dan Negeri Sembilan dikhuatiri disumbang oleh faktor tiada kesepakatan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Antara Kerajaan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan dengan Kerajaan Persekutuan dilihat seperti tiada keseragaman dalam pelaksanaan dasar termasuk mengawal penularan wabak pandemik dan pemberian vaksin kepada penduduk masing-masing.
Perkara itu dibangkitkan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar yang mendakwa kerajaan negeri dan pusat perlu mengenepikan pendirian politik supaya dasar untuk mengurangkan jangkitan dan meningkatkan pemberian vaksin dilaksanakan.
“Saya tengok, yang banyak masalah melibatkan angka ini adalah negeri pembangkang, Selangor dan Negeri Sembilan ini kedua-duanya negeri PH. Kalau kita tengok mungkin adakah sebab Selangor dan Negeri Sembilan adalah pembangkang, maka bilangan bertambah.
“Adakah masing-masing, kerajaan negeri ada cara tersendiri, kemudian Kerajaan Persekutuan pula ada cara tersendiri, saya tidak tahu sama ada clash atau tidak. Tetapi saya rasa bukan clash,” katanya kepada pemberita semalam.
Jelas beliau, Kerajaan Persekutuan perlu mengutamakan pemberian vaksin kepada negeri yang mempunyai jumlah jangkitan harian tinggi seperti di kedua-dua negeri itu sementara kerajaan negeri pula perlu membantu memudahkan pemberian vaksin dilakukan.
“Tak boleh beri vaksin secara pukul rata kepada setiap negeri. Ada negeri yang bilangannya sedikit, Selangor paling tinggi, ertinya separuh daripada jumlah vaksin yang ada patut diberi kepada negeri itu.
“Sebab, yang kena (jangkitan Covid-19) adalah separuh datangnya dari Selangor. Jadi ertinya, vaksin sekarang mesti hantar kepada Selangor. Itu peranan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Terdahulu, Noh ditemui pemberita ketika menyampaikan bakul makanan kepada wakil penduduk di Kampung Bestari Jaya, di sini untuk diagihkan kepada 61 buah keluarga memerlukan yang terdiri daripada orang sakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU).
Menurut Ahli Parlimen Tanjung Karang itu, termasuk peruntukan RM300,000 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari, kira-kira RM2 juta sudah dibelanjakan untuk mengedar bakul makanan kepada 33 buah kampung di sekitar Parlimen berkenaan.
“Setiap kampung jumlah penduduknya berbeza maka jumlah yang memerlukan juga berbeza. Jadi jumlah keseluruhan OKU dan sakit terlantar di kesemua 33 kampung di Tanjung Karang ada kira-kira 1,500 keluarga.
“Kalau yang terputus bekalan makanan, ada dekat (hampir) 1,500 keluarga juga. Yang kena kuarantin ada dalam 300 orang. Jadi, kita ikut kumpulan-kumpulan sedemikian untuk pengagihan termasuk golongan asnaf yang saya peroleh daripada Lembaga Zakat Selangor (LSZ),” ujarnya.