Kota Kinabalu lengang tanpa perhimpunan Lawan - Utusan Malaysia

Kota Kinabalu lengang tanpa perhimpunan Lawan

ANGGOTA keselamatan bersedia mengawal perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Padang Merdeka, Kota Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Suasana pekarangan Padang Merdeka dekat sini lengang tanpa kehadiran kumpulan anak muda untuk melakukan perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ seperti yang diadakan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Pekarangan Padang Merdeka hanya dipenuhi dengan anggota keselamatan yang ditugaskan bagi mengawal keadaan sekiranya berlaku perhimpuan aman.

Bagaimanapun sehingga pukul 2 petang, suasana di sekitar pusat bandaraya masih lengang tanpa sebarang perhimpunan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah yang turut meninjau keadaan di Padang Merdeka berkata, pihaknya melakukan kawalan keselamatan di situ sebagai persediaan menghadapi sebarang perhimpunan atau perkumpulan berkaitan.

“Kira-kira 112 orang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu termasuk 12 pegawai dan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 13 anggota unit elit Tiger Platoon.

“Kesemua mereka ditugaskan di beberapa kawasan termasuk Padang Merdeka serta dua pusat beli- belah yang dipercayai berpotensi untuk dijadikan sebagai lokasi perhimpunan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang perhimpunan atau aktiviti berkumpul dikesan di ketiga-tiga kawasan yang dipantau.

MOHD. Zaidi Abdullah (kanan) meninjau suasana di Padang Merdeka, Kota Kinabalu yang tenang tanpa ada sebarang perhimpunan

Justeru, Mohd. Zaidi mengingatkan mana-mana individu yang merancang mengadakan perhimpunan supaya menghentikan hasrat sebegitu kerana sebarang aktiviti berkumpul tidak dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas beliau, sesiapa yang didapati terlibat dalam perhimpunan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi termasuk tindakan kompaun mengikut undang-undang sedia ada.

Di Kuala Lumpur, dianggarkan lebih 400 orang hadir dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang diadakan pada pukul 11 pagi.

Kumpulan anak muda yang terlibat dilihat memakai baju hitam dengan membawa bendera hitam serta plakad yang antara lain mendesak Perdana Menteri meletak jawatan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya