GEORGETOWN: Seorang penuntut Institut Kemahiran Renaco Marine di Kemaman, Terengganu sanggup berkorban masa demi tugas sebagai anggota barisan hadapan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Spice Arena, Bayan Baru, dekat sini sejak sebulan lalu.
Penuntut jurusan kemahiran Operasi Dek, Mohamad Haziq Zikry Zainal Akmal, 22, berkata, tugas mengawal laluan trafik di pintu masuk PPV berkenaan memberi pengalaman berharga buatnya selain mengajar erti sebuah pengorbanan.
Menurut, keputusan menyertai pasukan beruniform itu biar pun baru memulakan sesi pembelajaran secara dalam talian Mei lalu dianggap tepat demi membantu menyekat rantaian penularan wabak Covid-19.
Ujarnya, dia kini mengikuti sesi kelas secara dalam talian sekali sehari dan mempunyai banyak masa terluang sekali membuat keputusan menjadi sukarelawan di PPV itu.
“Tugas yang dipikul ini sememangnya mengajar erti kesabaran dan tanggungjawab. Selain hujan lebat dan angin kuat, saya perlu berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat.
“Baru sebulan saya menyertai pasukan ini, bayangkan anggota Rela lain termasuk polis dan kakitangan Kementerian Kesihatan yang lebih setahun mengharungi cabaran Covid-19,” katanya di sini semalam.
Tambah anak kedua daripada lima beradik itu, dia tidak pernah sesekali berasa terbeban dan penat dengan jadual kerja yang diamanahkannya setiap hari.
“Tahun ini juga merupakan pengalaman pertama saya bertugas pada Hari Raya Aidiladha. Bekerja dalam suatu tempoh yang lama, lebih dari lapan jam dianggap sebagai sebuah pengorbanan yang tidak ternilai bagi anggota barisan hadapan.
“Saya nekad untuk meneruskan perjuangan ini sebagai petugas barisan hadapan demi berusaha membantu menyekat penularan wabak Covid-19 yang semakin tinggi ketika ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE