Kontraban, ternakan paling kerap diseludup masuk Kelantan - Utusan Malaysia

Kontraban, ternakan paling kerap diseludup masuk Kelantan

AZHARI (kiri) memberi taklimat kepada anggota PGA dan ATM yang melakukan penugasan bersama menerusi Op Bersepadu di Martek PGA Lubok Stol, Rantau Panjang, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Sebanyak 113 kes aktiviti jenayah rentas sempadan berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan dalam tempoh sebulan penugasan Op Benteng di sempadan negeri ini bermula 16 Jun lalu hingga semalam.

Pegawai Pemerintah (PGA) Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, jumlah itu merupakan tangkapan tertinggi pernah direkodkan pihaknya ketika menjaga keselamatan sempadan negeri ini setakat ini.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh tersebut pula mencecah RM4.9 juta dengan barangan kontraban serta haiwan ternakan seperti lembu dan kambing menjadi penyumbang utama.

“Kontraban seperti pakaian, rokok elektronik (vape), rokok dan makanan merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM3.05 juta, diikuti haiwan ternakan seperti lembu dan kambing  RM1.1 juta,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal (Martak) PGA Lubok Stol di sini hari ini.

Azhari memberitahu, nilai rampasan berkaitan bahan terlarang seperti dadah, ubat batuk, daun dan air ketum pula  RM169,889 manakala barangan bersubsidi negara yang cuba diseludup ke Thailand membabitkan nilai rampasan RM380,695.

“Sepanjang tempoh sebulan ini, kita berjaya melakukan tangkapan ke atas 94 individu termasuklah pendatang asing tanpa izin (Pati),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Azhari berkata, kerjasama PGA dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Op Bersepadu menunjukkan kesan positif dalam aspek kawalan sempadan Malaysia di negeri ini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN