Klip video usung keranda tular, 11 Geng 04 dicekup - Utusan Malaysia

Klip video usung keranda tular, 11 Geng 04 dicekup

TANGKAP layar klip video tular berdurasi 20 saat yang memaparkan acara mengusung keranda di sebuah taman di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis menahan seramai 11 individu disyaki ahli kongsi gelap Geng 04 ditahan bagi membantu siasatan berhubung klip video tular acara mengusung keranda di sebuah taman di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini.

Kesemua lelaki berusia 24 hingga 42 tahun itu diberkas dalam beberapa siri serbuan di sekitar Melaka dalam Op Cantas Khas bermula 8 Julai sehingga semalam. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima pada 7 Julai lalu mengenai klip video berdurasi 20 saat yang turut tular dalam laman sosial memaparkan sekumpulan lelaki mengusung keranda tertera lambang Geng 04. 

“Hasil siasatan awal, klip video dirakam di sebuah rumah di Durian Tunggal dan acara tersebut diadakan sebagai tanda penghormatan kepada seorang lelaki yang maut akibat kemalangan di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) pada 6 Julai lalu. 

“Berikutan itu Bahagian Kongsi Gelap Perjudian dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Melaka telah melakukan beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, setakat ini seorang suspek telah dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,500, manakala 10 yang lain masih dalam siasatan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua yang disyaki ahli kongsi gelap Geng 04 itu berjaya dikesan menerusi pakaian mereka ketika upacara mengusung keranda berkenaan. 

“Sebuah telefon bimbit turut dirampas dipercayai digunakan untuk merakamkan kejadian tersebut. 

“Kini kita masih mengesan dua individu lain yang masih bebas bagi membantu siasatan berhubung kes ini,” ujarnya.

Tambahnya, suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 50 (3) dan Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN