PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 577 individu diberkas dengan seramai 542 dikompaun manakala 35 lagi direman.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejumlah 66 premis meliputi masing-masing 11 kilang, 49 premis perniagaan dan satu tapak pembinaan juga diarahkan tutup oleh Task Force Operasi Pematuhan kerana ingkar SOP.
“Pasukan ini melakukan pemeriksaan ke atas 1,756 kilang, 16,010 premis perniagaan, 776 tapak pembinaan dan 256 asrama penempatan pekerja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Seramai 29 pendatang tanpa izin turut ditahan dan tujuh lagi diusir keluar semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 634 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 9,356 individu terbabit masih menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 79 hotel serta 12 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 665 peruncit, 151 pemborong dan 32 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,925 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya satu premis terbabit yang dikenakan kompaun.- UTUSAN ONLINE










