Kerajaan PN tidak amal pendekatan propaganda - Utusan Malaysia

Kerajaan PN tidak amal pendekatan propaganda

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sekali-kali mengamalkan pendekatan komunikasi propaganda dalam penyebaran maklumat rasmi kepada masyarakat awam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah sebaliknya berkata, segala hebahan yang disampaikan kepada rakyat adalah penjelasan sahih tanpa ada agenda tertentu.

“Saya beri jaminan bahawa PN tidak menggunakan strategi propaganda yang konon semua cerita adalah baik-baik sahaja, atau yang salah pun kita tidak mengaku sebagai salah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan secara maya Persidangan Antarabangsa mengenai Islam, Media dan Komunikasi Kali Ketiga yang berlangsung hari ini.

Amalan propaganda amat popular ketika era Perang Dingin antara blok komunis disokong oleh bekas Kesatuan Soviet dan Barat yang pro-Amerika Syarikat pasca-Perang Dunia Kedua.

Ketika ini, banyak negara turut melaksanakan penyebaran berita secara propaganda dalam usaha mengekang gerakan antikerajaan selain laporan palsu terutama isu wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, rakyat negara ini masih lagi boleh bergantung harap dan meyakini segala laporan berita disampaikan kerajaan menerusi platform rasmi disediakan.

“Kita sebenarnya bersikap telus dan tidak akan cuba buat spin (putar belit) berita tertentu yang konon tidak menyebelahi kerajaan supaya nampak agar condong sokong kita pula,” katanya.

Ini ujar beliau, termasuk maklumat sahih yang lazim disebarkan melalui platform rasmi kerajaan iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pada masa sama, tambahnya, kementerian turut berhubung rapat dengan kesemua pentadbir stesen penyiaran swasta tempatan untuk berkongsi berita yang tepat kepada penonton-penonton mereka.

Begitu juga, katanya, sesi pertemuan secara berkala dengan semua ketua editor akhbar di negara ini sering diadakan bagi meminta penyampaian berita yang mesra kepentingan masyarakat.

Saifuddin turut berterima kasih kepada media arus perdana yang tampak bertanggungjawab dalam penyebaran maklumat tepat kepada rakyat dan tidak sensasi mencetuskan suasana panik.

“Cuma, kita kali ini berdepan pula dengan wartawan ‘segera’ melalui platform media sosial apabila semua orang bebas melapor berita tanpa tapisan asalkan tular,” katanya dalam nada kesal.

Situasi tidak sihat itu ujarnya, jika tidak dikawal awal melalui perundangan tegas bagi mengekang berita palsu, boleh mengakibatkan keadaan negara boleh bertukar kepada senario huru-hara.

Bagaimanapun, beliau percaya warganet tempatan sudah semakin matang dalam membezakan berita tidak benar dan berharap gejala itu dapat ditangani pihak berwajib dengan lebih cekap.

Hal ini, kata Saifuddin, termasuk menerusi pendekatan pendidikan berhemah dan kempen kesedaran mengenai bahaya berita palsu kepada rakyat yang giat dilaksanakan pelbagai agensi awam. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN