Kerajaan beli 2 juta dos tambahan untuk Lembah Klang, Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Kerajaan beli 2 juta dos tambahan untuk Lembah Klang, Negeri Sembilan

MUHYIDDIN Yassin (kiri) mendengar taklimat sewaktu melawat Bahagian Kecemasan serta Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membeli vaksin tambahan sebanyak dua juta dos untuk diagihkan khusus kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bermula hujung bulan ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi mempercepatkan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Lembah Klang.

Beliau berkata, ini merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan peningkatan kes negeri dengan kadar jangkitan tertinggi itu dapat ditangani dalam kadar segera.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan berkeyakinan usaha mencapai tahap imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini berada pada landasan tepat apabila kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan yang mana semalam lebih 420,000 dos sehari berjaya diberikan.

“Kadar vaksinasi harian ini adalah antara yang tertinggi di dunia dan ini merupakan satu ‘milestone’ yang sangat baik buat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok.

“Pencapaian ini adalah atas kerja keras semua pihak termasuk rakyat secara keseluruhan yang semakin cakna dengan kepentingan mengambil suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Terdahulu, beliau melawat Bahagian Kecemasan serta Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi melihat sendiri situasi di fasiliti kesihatan itu yang sebelum ini dilaporkan berdepan beberapa kesulitan seperti kekurangan katil di wad rawatan Covid-19.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri dimaklumkan bahawa arahan penambahan segera ventilator bagi kegunaan HTAR diselesaikan dan dihantar ke hospital tersebut susulan peningkatan bilangan pesakit Covid-19 di Klang kebelakangan ini.

Jelasnya, pihak hospital juga memaklumkan kapasiti katil rawatan bagi wad Covid-19 Unit Rawatan Rapi (ICU) juga akan ditingkatkan dalam waktu terdekat selain inisiatif menjadikan asrama doktor pelatih serta Kompleks Rawatan Harian HTAR sebagai wad sementara bagi merawat pesakit tersebut.

“Langkah segera ini adalah tepat dan amat diperlukan dalam usaha kita memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada pesakit dan masyarakat,” katanya.

Pada sesi lawatan itu, Muhyiddin turut mengambil peluang berbual bersama petugas barisan hadapan yang berkongsi kesulitan serta cabaran yang dilalui mereka sepanjang menjalankan amanah mendepani penularan pandemik .

Beliau secara peribadi menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada mereka, tidak terkecuali kepada semua barisan hadapan lain yang terus cekal memberikan perkhidmatan sejak pandemik ini melanda negara lebih setahun lalu.

“Terima kasih. Jasa, sumbangan dan pengorbanan anda tidak ternilai harganya. Saya mendoakan semua petugas barisan hadapan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam meneruskan amanah ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN