JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO Johor mendesak pengurusan Felda menetapkan tarikh tutup baharu bagi proses mendapatkan tandatangan semua peneroka berbanding tarikh tutup sedia ada iaitu 23 Julai ini.
Ketuanya, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, lanjutan itu perlu dibuat bagi memberi ruang untuk proses penjelasan dan hebahan serta penerangan lengkap dapat dibuat ke setiap tanah rancangan di negara ini.

Katanya, syarat atau terma yang akan dikenakan perlu dijelaskan agar tidak berlaku masalah di kemudian hari dan pada masa akan datang kepada pewaris dan generasi baharu Felda.
“Minggu lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat dengan mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau ‘restart’ Felda.
“Namun saya difahamkan beberapa hari selepas pengumuman itu, pegawai Felda mula bergerak rumah ke rumah untuk pastikan setiap peneroka bersetuju dan menerima penghapusan hutang ini dengan menurunkan tandatangan mereka ke atas perjanjian yang dibawa.
“Kenapa begitu tergesa-gesa melaksanakan perkara ini, meminta tandatangan peneroka serta-merta seperti ‘memaksa’ tanpa ada penerangan, sesi perjumpaan atau hebahan bagi membolehkan peneroka, generasi kedua serta seluruh warga Felda mendapat maklumat dan penerangan yang sebenarnya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Berdasarkan inisiatif diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah.
Mohd. Hairi turut memberitahu, jika benar inisiatif diumumkan itu tidak membabitkan pengambilalihan semula tanah atau pelbagai lagi persoalan dan dakwaan yang timbul sekarang, kebenaran perlu dinyata dan diperjelas kepada warga peneroka.
“Jangan cuba wujudkan jurang informasi seperti ini dan jangan pula dimarahkan peneroka atau warga Felda apabila muncul persoalan, persepsi atau andaian, kerana anda sendiri kerajaan dan pengurusan Felda yang mewujudkan ruang untuk semua andaian dan persepsi ini muncul.
“Perkara seperti ini bukan kali pertama berlaku, sebelum ini juga pernah membabitkan permintaan tandatangan daripada peneroka, jadi belajarlah daripada kesilapan sebelum ini, jangan terus aniaya dan jadikan peneroka Felda mangsa ‘polisi baharu’ yang menjerat mereka sendiri,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut memberitahu pengumuman itu seolah-olah tidak adil kepada peneroka yang mempunyai baki hutang yang sedikit, dilupuskan pinjaman, tetapi perlu diserahkan pula tanah.
“Ini dilihat tidak adil jika berbanding peneroka yang masih memiliki jumlah hutang yang tinggi dan rasa berbaloi untuk dilupuskan hutang.
“Sepatutnya satu terma lain perlu diberikan buat peneroka yang tidak memiliki hutang yang banyak atau baki hutang yang sedikit supaya hak lebih adil buat mereka dapat diberikan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE










