Keadaan tular hanya sementara - JKNS - Utusan Malaysia

Keadaan tular hanya sementara – JKNS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Isu tular melibatkan Hospital Serdang, baru-baru ini merupakan keadaan sementara Jabatan Kecemasan yang menunggu ketibaan beberapa peralatan kemudahan di hospital berkenaan.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, keadaan itu sudah diperbaiki apabila khemah yang dilengkapi kemudahan, disiapkan pada 21 Julai lalu.

“Kerja menyiapkan khemah menempatkan pesakit Covid-19 yang dilengkapi kemudahan udara, kipas, air bersih, tandas dan elektrik telah siap termasuk tambahan 81 katil.

“Gambar tular mengenai Jabatan Kecemasan Hospital Serdang itu adalah keadaan sementara menunggu peralatan tiba,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembanga, Ean Yong Hian Wah meminta kerajaan mengesahkan keadaan sebenar di hospital berkenaan.

Ia susulan wujud dakwaan tular bahawa ada pesakit tidur atas lantai, selain ditempatkan dalam khemah yang panas dan tidak selesa.

Mengulas lanjut, jelas Sha’ari, setiap hospital di Selangor sudah mengoptimumkan penggunaan kemudahan seperti dewan bedah, klinik dan wad bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19.

“Penggunaan khemah tambahan sebagai wad sementara turut dilaksanakan di kebanyakan jabatan kecemasan hospital di negeri ini.

“Selain itu, pelaksanaan pemindahan sebahagian perkhidmatan klinikal kepada hospital swasta sedang giat dijalankan bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sentiasa bersiap siaga menghadapi lonjakan kapasiti pesakit Covid-19 terutama bagi kategori tiga dan ke atas susulan peningkatan kes di negeri ini.

“Kita sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan terbaik kepada semua pesakit.

“Orang ramai diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebagai norma baharu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN