KOTA KINABALU: Proses vaksinasi yang terlalu perlahan di Sabah mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin politik di negeri ini.
Ketua Pemuda Parti Cinta Sabah (PCS), Ag Zakariah Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan dilihat tidak mempunyai perasaan empati kepada rakyat Sabah.
Jika dilihat ketika ini, 82 peratus rakyat Sabah yang layak divaksin masih belum vaksin dan pencapaian ini jauh ketinggalan berbanding proses vaksinasi di negeri lain.
Maka, proses vaksinasi di Sabah perlu dipertingkatkan kepada 50,000 dos setiap hari berbanding kadar semasa yang hanya 20,000 dos vaksin sehari.
“Berdasarkan fakta juga memperlihatkan pencapaian proses vaksinasi di Sarawak jauh lebih tinggi berbanding Sabah. Malah, Labuan juga dilaporkan bakal mencapai imuniti berkelompok lebih awal.
“Jadi timbul persoalan mengapa kerajaan Pusat tidak membekalkan vaksin yang mencukupi kepada kita di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau meminta Khairy Jamaluddin selaku menteri bertanggungjawab untuk memberikan bekalan vaksin yang mencukupi kepada Sabah dengan kadar segera.
Bekalan yang mencukupi akan mempercepatkan pencapaian imuniti berkelompok di Sabah yang mempunyai 2.76 juta penduduk yang layak divaksin.
Beliau turut menghargai pasukan petugas vaksinasi yang bertungkus lumus memberikan vaksin kepada semua penduduk di negeri ini termasuk di kawasan yang sukar diakses.
Jelas beliau, kerajaan Persekutuan perlu mengagihkan lebih banyak vaksin kepada Sabah bagi membolehkan imuniti berkelompok mampu dicapai menjelang hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.- UTUSAN ONLINE










