IPOH: Penganjur ibadah korban dan akikah di negeri ini diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, kehadiran petugas aktiviti korban walaupun dibenarkan sehingga 20 orang namun perlu mengambil kira bilangan ternakan ruminan bagi tujuan korban.
Katanya, pihak penganjur juga disaran menyenaraikan bilangan petugas yang sesuai untuk kerja-kerja penyembelihan dengan bilangan haiwan korban.
“Bagi setiap sesi, jumlah petugas yang dibenarkan adalah tidak melebihi 20 orang termasuk ahli jawatankuasa kariah masjid atau surau.
“Bagaimanapun, sekiranya bilangan ternakan sedikit, maka tidak perlu kehadiran petugas yang terlalu ramai. Penganjur perlu melihat keperluan petugas ini untuk aktiviti sembelihan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusop, pihaknya tidak mahu sikap ambil mudah dan kecuaian penganjur dengan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan akan menyebabkan wujudnya kluster baharu.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama mengawal dan berusaha mencegah penularan wabak berbahaya itu.
“Kita amat khuatir akan timbul kluster baharu khususnya membabitkan ibadah korban disebabkan oleh kecuaian atau tidak patuh SOP,” katanya.
Menerusi laporan media pada 24 Jun lalu, Mohd. Yusop memaklumkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menzahirkan titah perkenan untuk pelaksanaan ibadah korban dan akikah selaras dengan tatacara dan panduan pelaksanaan ibadah berkenaan yang disembah maklum kepada baginda terlebih dahulu.
Menurut beliau, baginda turut memperkenankan pelaksanaan ibadah korban dan akikah selama empat hari bermula pada Hari Raya Aidiladha 10 Zulhijah dengan beberapa syarat utama.
Ibadah korban dan akikah bagaimanapun tidak dibenar dilakukan di kawasan yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – UTUSAN ONLINE