fbpx

Jabatan Pertanian nafi kawal kelapa gadong kerdil

KELAPA Malayan Green Dwarf adalah tidak tinggi dan sesuai dijadikan pokok hiasan di taman. - Gambar media sosial

PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian menafikan video tular melalui media sosial kononnya agensi itu mengawal varieti kelapa Malayan Green Dwarf (MGD) atau gadong kerdil.

Menerusi kenyataan dalam akaun sosial rasmi jabatan berkenaan, ia memaklumkan pihaknya masih lagi melaksanakan penilaian peringkat ujian varieti (I-VT) terhadap kelapa tersebut.

 “Bagaimanapun, varieti berkenaan tidak dikawal Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian seperti yang disebarkan melalui video terbabit,” jelasnya dalam hantaran tersebut.

 Ia merujuk satu rakaman video menerusi aplikasi TikTok yang berdurasi 1 minit 28 saat berkaitan kelapa varieti gadong bersaiz kerdil itu yang dibawa masuk dari Vietnam sejak 2018.

Menurut kenyataan individu dalam video itu, pohon gadong berusia lebih dua tahun tersebut merupakan varieti MGD seperti dinyatakan syarikat pembekal melalui dokumen permit import.

Pihak syarikat berkenaan dilaporkan dalam peringkat penukaran nama MGD kepada Gadong Green Dwarf di samping juga sedang memproses pendaftaran varieti tanaman berkenaan.

Mengulas lanjut, Jabatan Pertanian menjelaskan, anak benih MGD yang dibawa oleh syarikat itu telah mengikut prosedur kuarantin yang ditetapkan dan pemantauan sehingga enam bulan.

“Segala urusan tersebut memang adalah di bawah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, namun seksyen berkenaan tidak pula mengawal varieti terbabit,” kata kenyataan jabatan tersebut lagi.

Sebaliknya, spesies MGD itu akan melalui peringkat I-VT bagi mengenal pasti tahap kestabilan, pertumbuhan dan pengeluaran hasil kerana tumbuhan ini berasal dari luar negara.

 Sekiranya lulus, pengesyoran penanaman boleh dibuat namun pihak Jabatan Pertanian tiada halangan jika ada usahawan ingin menanam varieti yang belum disyorkan agensi tersebut.

 Bagaimanapun ujarnya, risiko seperti pengeluaran hasil sekiranya berlainan daripada apa yang dinyatakan oleh pengeluar negara asal adalah atas tanggungjawab usahawan itu sendiri.

 Berat buah MGD di Vietnam pada kelazimannya mampu mencecah 1.5 kilogram dengan 20 biji dalam satu tandan serta dianggarkan menghasilkan sehingga 240 biji sepanjang tahun.

 Varieti ini boleh tumbuh setinggi 15 meter serta kebiasaannya mula berbuah selepas usia tiga tahun ditanam dengan kandungan air 350 millimeter dan ketebalan isi ialah lapan millimeter. – UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN