PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun terus didesak supaya tidak menghalang sistem demokrasi negara dengan memberi ruang perbahasan bagi persidangan Parlimen pada 26 Julai ini.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan mendesak Azhar Azizan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menghormati titah pandangan Yang di-Pertuan Agong yang telah minta supaya persidangan Parlimen disegerakan.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa kerajaan PN agar hentikan pencabulan institusi demokrasi negara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“PH mendesak kerajaan PN agar menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab murni mereka membela hak rakyat,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Pada 15 Julai lalu, Azhar Azizan menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 telah menzahirkan titah pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19.
Menurut Majlis Presiden PH, Agong telah menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021.
“Titah pandangan Tuanku senada dengan aspirasi rakyat yang mahu pengakhiran kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara ketika ini. Demi menjunjung titah pandangan Tuanku ini, Ketua Pembangkang telah pada 12 Julai menghantar usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Tuanku.
“Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










