SHAH ALAM: Seorang wanita terpaksa menanggung perbelanjaan keluarganya setelah suaminya kehilangan kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, tahun lalu.
Mencerita kisah sedih tersebut, Loida Ema, 41 berkata, suaminya, Jepri Mansul, 40, diberhentikan kerja oleh majikannya kerana syarikatnya tidak mampu membayar gajinya memandangkan tidak mendapat perkhidmatan daripada pelanggannya.
“Setelah diberhentikan keluarga, kami beranak hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Saya terpaksa berjimat cermat untuk pastikan duit gaji sebanyak RM1,200 bertahan untuk tempoh sebulan,” katanya ketika ditemui semasa mengambil bantuan bakul makanan di Masjid An-Nur, di sini, semalam.
Bagaimanapun, wanita yang bekerja di sebuah pasar raya di Subang Jaya itu berkata, hampir setiap bulan gajinya akan habis tidak sampai sebulan kerana terpaksa membayar pelbagai komitmen seperti sewa rumah, bil utiliti, bil internet dan lain-lain lagi.
Apabila wang gajinya habis, Loida terpaksa menebalkan mukanya untuk meminjam duit daripada kawan-kawannya.
“Malu nak pinjam duit daripada kawan tapi kalau tak buat begitu, memang kami sekeluarga tidak ada duit untuk beli makanan atau barang keperluan.
“Saya nak pinjam duit daripada adik-beradik pun segan kerana mereka pun berada dalam kesusahan ketika ini,” kata ibu kepada seorang anak itu.
Dalam pada itu, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada perunding takaful, Saiful Nizam Mohd. Sharif kerana memberikan sumbangan makanan kepadanya.
Sementara itu, Saiful Nizam berkata, Loida di antara beberapa individu lain yang menghubunginya untuk mendapatkan sumbangan bakul makanan daripadanya.
“Saya bersama tiga rakan lain mengambil inisiatif menganjurkan program bakul makanan kepada penduduk yang tinggal di Subang Jaya dan sekitar Lembah Klang.
“Setakat ini, kami membelanjakan hampir RM10,000 untuk membeli bahan makanan untuk bakul makanan ini seperti beras, minyak masak, telur, kicap dan beberapa bahan makanan lain,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan bantuan makanan daripadanya, Saiful meminta individu berkenaan menghubunginya di talian 017-2877487.- UTUSAN ONLINE