Tauke hotel gadai tanah, jual hotel untuk tampung hidup - Utusan Malaysia

Tauke hotel gadai tanah, jual hotel untuk tampung hidup

HOTEL milik Zainudin di Padang Matsirat, Langkawi yang sedang dalam proses untuk dijual. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kebanyakan peniaga, pemilik hotel bajet dan calet di sini terpaksa ‘gadai’ tanah bagi meneruskan perniagaan serta menanggung sara hidup keluarga selepas hilang pendapatan sejak pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu.

Pada masa yang sama, terdapat juga dalam kalangan mereka terpaksa menjual bangunan perniagaan dan hotel serta calet selepas tidak sanggup lagi menanggung kerugian dalam tempoh yang lama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, sebahagian peniaga, pemilik hotel bajet dan calet di sini memiliki tanah sendiri yang dibeli di sekitar pulau ini sebelum ini.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka kini terpaksa menjual tanah-tanah tersebut untuk dijadikan modal bagi membiayai kos penyelenggaran, baik pulih, membayar gaji pekerja, bil elektrik dan air serta melunaskan hutang-hutang.

Malah, katanya, sebahagian golongan tersebut perlu membuat persediaan awal untuk membuka semula perniagaan dan hotel mereka apabila gelembung pelancongan dijangka dilaksanakan di Langkawi menjelang September nanti.

“Mereka terpaksa mengambil keputusan menjual tanah dan aset yang dimiliki bagi meneruskan kelangsungan perniagaan dan tidak sanggup lagi berhutang dengan institusi kewangan,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, peniaga tertentu pula memerlukan modal untuk menukar semula beberapa jenis barangan yang telah luput tarikh dan rosak kerana tidak laku dijual sebelum ini.

“Mereka akan menanggung kerugian yang lebih besar sekiranya pelancong masih tidak dapat memasuki pulau ini sehingga hujung tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zainudin berkata, kebanyakan tanah yang dijual di pulau ini berharga antara RM10 hingga RM400 sekaki bergantung kepada lokasi tanah tersebut.

Namun, katanya, tanah seluas dua hektar ke bawah didapati lebih laris dijual berbanding tanah yang luas dan berharga tinggi.

“Kalangan pembeli tanah di Langkawi ini kebanyakannya penduduk tempatan dan sebahagian pula penduduk luar pulau ini,” katanya.

Zainudin menambah, beliau sendiri sedang dalam proses untuk menjual bangunan hotel bajetnya yang terletak di Padang Matsirat dengan harga RM2 juta.

“Saya tidak mampu lagi meneruskan operasi hotel tersebut kerana ketiadaan pelancong yang berkunjung di pulau peranginan ini.

“Tindakan tersebut diambil untuk mendapatkan modal untuk menguruskan perniagaan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN