Firma guaman di lokasi PKPD dibenarkan operasi - Utusan Malaysia

Firma guaman di lokasi PKPD dibenarkan operasi

TAKIYUDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Firma guaman di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan beberapa lokaliti Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaannya bermula 3 hingga 16 Julai dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kebenaran berkenaan mengambil kira keperluan perkhidmatan guaman untuk menyokong sektor perkhidmatan perlu lain serta melancarkan urusan berkaitan dengan mahkamah dan jabatan kerajaan.

“Dengan mengambil kira penilaian risiko Kementerian Kesihatan, firma guaman di kawasan PKPD perlu mematuhi SOP lebih ketat seperti berikut; hanya dua orang pekerja atau 20 peratus daripada jumlah bilangan pekerja yang mana lebih tinggi dibenarkan beroperasi dari pejabat.

“Waktu operasi firma ditetapkan antara pukul 9 pagi sehingga 1 petang dan firma guaman perlu menetapkan temujanji dengan anak guam atau pelanggan sekiranya perlu berurusan secara fizikal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan hampir seluruh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur dikenakan PKPD bermula semalam hingga 16 Julai ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin menambah firma guaman juga boleh memohon kebenaran beroperasi melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 dan kebenaran beroperasi daripada CIMS yang telah diperoleh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 boleh terus digunakan.

Katanya, SOP PKPD perkhidmatan boleh dirujuk dari platform komunikasi MKN.

“Adalah diingatkan penguatkuasaan dan pemantauan rapi bagi memastikan pematuhan SOP oleh firma guaman akan dilaksanakan secara berintegrasi oleh pihak berkuasa.

“Sehubungan dengan itu, pihak-pihak diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berkaitan PKPD demi kebaikan semua,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN