KUALA LUMPUR: Pegawai-pegawai perubatan lantikan kontrak di negara ini ada yang merancang untuk berhijrah, berkhidmat dan menetap di luar negara.
Tidak sanggup lagi bekerja dalam ketidakseimbangan antara kerjaya dan kehidupan, doktor kontrak merasakan itu yang terbaik ekoran isu lantikan mereka ke dalam perkhidmatan tetap kerajaan tidak pernah selesai.
Malah, jika Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) masih belum mencapai kata putus, doktor kontrak nekad untuk berbakti di negara lain dan tidak pulang ke Malaysia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, doktor kontrak dikenali sebagai Dr. Ong, 29, berkata, beliau akan berhijrah dan mencari pekerjaan sebagai doktor di Australia pada hujung bulan ini.
Beliau mengharapkan kerjaya sebagai doktor dapat dikembangkan sehingga menjadi pakar bedah namun perkara itu tidak dapat dipenuhi selagi berada di Malaysia kerana doktor kontrak tidak boleh menyambung pelajaran kecuali dilantik secara tetap.
“Selepas bulan ini, saya bakal menduduki peperiksaan klinikal di bawah Lembaga Peperiksaan Australia untuk membolehkan saya diterima berkhidmat di sana,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, sekumpulan pegawai perubatan kontrak mewakili 23,000 kalangan perjawatan itu memberi kata dua kepada kerajaan untuk melakukan hartal atau mogok pada 26 Julai ini jika masih tiada jalan penyelesaian isu pelantikan tetap mereka.
Sejak 2016, seramai 789 atau 3.4 peratus pegawai dilantik secara tetap manakala lebihnya berkhidmat secara kontrak.
Utusan Malaysia baru-baru ini membangkitkan persoalan tentang pihak bertanggungjawab melantik dan menyerap pegawai perubatan kontrak ke status tetap selepas Kementerian Kesihatan, JPA dan SPA menuding jari antara satu sama lain.
Dr. Nazrin, 28, yang berhenti selepas lebih setahun berkhidmat secara kontrak dengan kerajaan turut merancang untuk ke Australia atas tujuan sama dengan Dr. Ong.
Jelasnya, kuasa pendapatan, keseimbangan antara skop kerja dan kehidupan di sana juga lebih baik berbanding Malaysia.
Katanya, ada doktor yang terpaksa bekerja sehingga 88 jam seminggu dan bertugas atas panggil atau oncall dua kali seminggu dengan bayaran hanya RM8.30 sejam (hari minggu) dan RM9.10 sejam (hujung minggu) dan terus bersambung dengan kerja shift biasa pada hari sama.
Beliau yang ingin menjadi pakar kesihatan keluarga turut menyentuh soal tawaran gaji yang lebih besar sekali gus dapat menampung komitmennya dan ahli keluarga apabila menetap di sana kelak.
“Bukan saya tidak bersyukur dengan apa yang ada cuma saya memikirkan masa depan dan tanggungan saya selain baru berkahwin. Jadi, pendapatan saya di sini tidak selari dengan khidmat yang saya curahkan.
“Saya kecewa dengan cara kerajaan mengendalikan sistem kontrak. Sekurang-kurangnya, kerajaan buat syarat baharu yang lantikan kontrak tidak perlu masuk secara tetap baru boleh menyambung pelajaran dan jadi pakar,” katanya. – UTUSAN ONLINE










