Cubaan 10 PATI keluar guna laluan tikus gagal - Utusan Malaysia

Cubaan 10 PATI keluar guna laluan tikus gagal

Pasukan ESSCOM menahan 10 PATI yang bersembunyi di kawasan semak di Jalan Pantai Tawau Lama, Tawau tengah malam tadi.-IHSAN ESSCOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) ingin menyeludup keluar dari Sabah menerusi laluan tikus berjaya dikesan pihak berkuasa dalam Op Cegah PATI Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah ESSCOM malam tadi.

Dalam operasi pada pukul 12.10 tengah malam yang dilakukan oleh ESSCOM itu, 10 PATI berjaya di kawasan semak di Jalan Pantai Tawau Lama.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua PATI yang berusia enam bulan hingga 54 tahun itu ditahan ketika sedang bersembunyi di kawasan semak dan dipercayai hendak balik ke negara asal melalui laluan tikus.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki dan lapan perempuan termasuk dua kanak-kanak sedang bersembunyi di kawasan semak dipercayai menunggu bot untuk balik ke negara asal mereka di Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, tiada rampasan barang-barang yang menyalahi undang-undang dijumpai bersama-sama dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi berkenaan turut dianggotai pasukan Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 dari Kem Kukusan Tawau yang terlibat dalam menjayakan Op Cegah PATI berkenaan.

Kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

Ahmad Fuad berkata, ESSCOM akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah dan membanteras aktiviti penyeludupan imigran serta kemasukan PATI.

Malah, ESSCOM juga akan terus memantau pergerakan kegiatan militan serta kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.

“Operasi-operasi sebegini ini akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan penculikan dapat dibanteras,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya