KUANTAN: Pahang merekodkan penurunan kes kematian baharu Covid-19 kepada enam kes yang dilaporkan Kementerian Kesihatan berbanding semalam, iaitu 12 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 207 kes.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, kes kematian baharu Covid-19 di negeri ini melibatkan tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 38 tahun hingga 61 tahun.
“Di Pahang Barat terdapat dua kes kematian di Lipis yang mempunyai kaitan dengan Kluster Sungai Jelai iaitu di Bandar Lipis dan Kampung Sama serta satu lagi kes di Jalan Benta, Kampung Baru, Jerantut.
“Di Kuantan terdapat tiga kes, membabitkan seorang pesakit berasal dari RTP Bukit Goh yang mempunyai kaitan dengan Kluster Pasar Kemunting dan dua kes dari Lepar Hilir 4 yang mempunyai kaitan Kluster Jalan Tanah Putih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr. Bahari berkata, sebanyak 369 kes baharu dilaporkan di negeri ini hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif Covid-19 mencecah 18,473 kes.
“Berdasarkan jumlah kes baharu hari ini, sebanyak 305 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 64 kes merupakan warganegara asing.
“Sebanyak 266 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, 10 kes import iaitu lima dari Selangor, satu dari Kuala Lumpur dan empat dari Terengganu.
“Terdapat 72 kes diperolehi daripada saringan kluster, 186 saringan kontak rapat, 16 saringan bergejala, 93 saringan bersasar Orang Kena Tahan dan satu saringan pra pekerjaan dan satu saringan pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, semua daerah mencatatkan pertambahan kes dan lima daerah mencatatkan kes tertinggi iaitu Kuantan (179 kes), diikuti Bentong (109 kes),Jerantut (31 kes), Temerloh (14 kes), dan Lipis (10 kes).
“Terdapat satu kluster baharu turut dilaporkan iaitu Kluster Pos Iskandar di Bera melibatkan tiga buah kampung dalam Pos Iskandar dipercayai berpunca daripada menghadiri dan menguruskan gotong royong upacara pengebumian seorang penduduk.
“Ramai penduduk kampung hadir membantu dan pada masa yang sama terdapat tiga individu yang pulang ke Pos Iskandar dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bentong dan didapati positif Covid-19.
“Seramai 221 individu disaring dan 36 individu didapati positif dalam kluster ini. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pos Iskandar telah diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 19 Julai sehingga 1 Ogos depan,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak lapan daerah berada dalam zon merah iaitu Bentong, Bera, Jerantut, Kuantan, Maran, Pekan, Lipis dan Temerloh manakala Rompin, Cameron Highlands dan Raub berada di zon oren.- UTUSAN ONLINE