Buka ‘kaunter’ agihan makanan depan rumah - Utusan Malaysia

Buka ‘kaunter’ agihan makanan depan rumah

GENG Basmi Lapar diketuai Mohamed Rafiez mengagihkan bekalan makanan kepada penerima di kediamannya di Telipot, Kota Bharu. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tidak sanggup melihat mana-mana keluarga miskin berdepan kebuluran ketika pandemik Covid-19 ini, seorang pemuda mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan sukarelawan digelang Geng Basmi Lapar.

Menerusi aktiviti kebajikan yang diuar-uarkan di media sosial, mereka mengumpulkan bekalan makanan sumbangan orang ramai sebelum mengagihkannya kepada keluarga memerlukan di sekitar bandar ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemuda yang mengasaskan Basmi Lapar, Mohamed Rafiez Riffin, 26, memberitahu, program secara sukarela itu digerakkan selepas dia berhenti berniaga pakaian di Wakaf Che Yeh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Selepas PKP, perniagaan merudum teruk sehingga saya nekad berhenti berniaga. Kebetulan, kedua-dua ibu dan ayah pula sakit. Jadi saya gunakan masa terluang untuk jaga mereka sambil membantu orang miskin bersama beberapa rakan.

“Selepas ibu dan ayah meninggal, masing-masing pada hujung tahun lalu dan Mac tahun ini, saya semakin aktif mencari penderma di media sosial bagi membantu keluarga yang terputus bekalan makanan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohamed Rafiez berkata, geng Basmi Lapar ‘bekerja’ setiap hari dan kebiasaannya, mereka akan mula dihubungi golongan yang memerlukan bekalan makanan antara pukul 3 hingga 6 petang dengan cara membuka kaunter di depan rumahnya di Telipot, di sini.

“Dalam sehari ada lima hingga enam orang yang tinggal di sekitar Kota Bharu akan datang mengambil makanan keperluan asas seperti beras, minyak, roti, sardin dan telur yang dikumpulkan di rumah saya..

“Jika dikira, saya anggarkan nilai barangan tersebut antara RM300 hingga RM400 sehari. Selain itu, ada juga individu yang datang semata-mata mahu memberi sumbangan atau meninggalkan bekalan barangan,” katanya.

Mohamad Rafiez yang kini mencari rezeki sebagai pembantu di kedai makan kakaknya berkata, selain bekalan makanan, pihaknya turut membekalkan lampin pakai buang serta susu kepada keluarga yang mempunyai anak kecil.

Setiap hari Ahad pula, mereka berjaya menyediakan sehingga 200 bungkus nasi dan minuman yang diperoleh hasil sumbangan derma orang ramai untuk diagihkan kepada golongan gelandangan di sekitar Kota Bharu.

“Namun disebabkan sekatan pergerakan penuh ketika ini, kami terpaksa hentikan dulu aktiviti agihan makanan kepada golongan gelandangan ini,” katanya.

Pemuda tersebut dalam pada itu berharap tidak ada individu atau keluarga yang sebenarnya berkemampuan mengambil kesempatan di atas inisiatif dibuat geng Basmi Lapar semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan secara percuma.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN