Bila kami dibenarkan berniaga semula? - Utusan Malaysia

Bila kami dibenarkan berniaga semula?

LIM Ai Lee (kiri) yang dibantu pekerjanya melihat pakaian pengantin di butiknya di Hutan Melintang ketika ditemui di Bagan Datuk baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: “Bila butik pengantin dibenarkan dibuka semula sedangkan banyak sektor perniagaan lain yang sudah dibenarkan beroperasi?’.

Itu antara luahan seorang pengusaha butik pengantin di sini yang terpaksa menanggung kerugian apabila perniagaannya tidak dibenarkan beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19.

Pemilik Butik Elly Collections di sini, Lim Ai Lee berkata, PKP demi PKP yang dilaksanakan sejak tahun sudah tentu menjejaskan perniagaannya yang memiliki dua buah cawangan di sini iaitu di Simpang Empat, Hutan Melintang dan Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat sini.

Katanya, disebabkan tidak boleh beroperasi, dia mengalami kerugian besar.

“Kerana PKP, saya bukan sahaja tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa tetapi urusan lain seperti untuk menambah koleksi pakaian pengantin juga tidak dapat dibuat kerana sekatan perjalanan antara negeri.

“Sekarang pakaian pengantin hanya tersimpan di butik tanpa dapat disewakan seperti mana biasa. Saya berharap kerajaan melihat keadaan kami di sektor butik pakaian pengantin yang masih ternanti-nantikan pengumuman untuk kami beroperasi semula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, para pelanggannya terdiri daripada bakal pengantin dari kaum Melayu, Cina dan India.

Katanya, kerana larangan mengadakan perhimpunan ramai seperti majlis kenduri perkahwinan semasa PKP, menyebabkan tiada tempahan untuk majlis perkahwinan yang diterima.

“Rasa cemburu pun ada sebab sektor perniagaan lain seperti mencuci kereta, kedai alat komunikasi, kedai gunting rambut, kedai makan, perniagaan elektrik dan banyak lagi sudah boleh beroperasi.

“Sedangkan kami di sektor perniagaan ini masih ternanti-nantikan kebenaran untuk beroperasi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN