KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) memohon agar kerajaan memberi kebenaran kepada mana-mana individu yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 untuk melakukan perjalanan rentas daerah dan juga negeri.
Presidennya, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, vaksinasi memastikan penghasilan antibodi badan lebih awal bagi melawan penyakit berbahaya.
Beliau berkata, dengan lengkapnya vaksinasi, seseorang mempersiapkan tubuhnya dengan antibodi bagi melawan ‘musuh’ iaitu kuman atau penyakit.
“Jadi pada pandangan YPNM adalah wajar mereka yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 diberikan kebenaran rentas daerah dan negeri.
“Lebih lama rakyat dikurung, ia suatu yang sangat tidak baik kepada aspek kesihatan mental dan fizikal mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 1 April lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata, rakyat yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah.
Perdana Menteri berkata, penyelidikan di peringkat antarabangsa tentang vaksin menunjukkan mereka yang telah diberi dua dos vaksin dan sijil pengesahan bebas melakukan perjalanan ke mana sahaja.
Ahad lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu prosedur operasi Standard (SOP) yang digunakan kerajaan dalam melawan pandemik Covid-19 ketika ini dikaji semula.
Tunku Ismail bertitah, hal demikian kerana tindakan ‘mengurung’ rakyat seperti yang dilaksanakan ketika ini sudah tidak relevan lagi.
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, kebenaran rentas daerah dan negeri apabila lengkap dua dos suntikan pernah dinyatakan oleh Perdana Menteri sebelum ini dan ia perlu dilaksanakan.
“Selain rentas daerah dan negeri, mereka yang telah lengkap dua dos suntikan wajar diberikan kebenaran menaiki kenderaan lebih daripada dua individu.
“Menerusi cara sebegini, ia juga dapat memberikan galakan kepada rakyat untuk mendaftar dan menerima suntikan vaksin sekali gus segera mencapai imuniti kelompok di negara ini,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE










