JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan latar belakang diajak agar bersama-sama menyokong perjuangan atlet negara dalam temasya Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Tokyo, Jepun ketika ini.
Seruan itu dibuat bekas atlet negara, Nordin Jadi yang turut berkata, apapun keputusan yang dilakar atlet Olimpik negara, ia adalah satu pencapaian yang membanggakan.
Menurutnya, sokongan jutaan rakyat Malaysia adalah motivasi terbaik buat mereka yang sedang berjuang mendapatkan pingat buat negara.
“Saya sedar tekanan yang dihadapi mereka mewakili negara dalam kejohanan sukan terbesar dunia, apatah lagi mereka bersaing dengan atlet terbaik dari pelbagai negara.
“Jadi, sebagai rakyat Malaysia, apa yang perlu kita lakukan ketika ini adalah untuk memberikan mereka sokongan yang padu dalam usaha mencari emas Olimpik pertama negara.
“Ini kerana apa yang atlet negara perlukan ketika ini adalah sokongan daripada rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan dan latar belakang mereka,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Nordin, 59, pernah mewakili Malaysia dalam acara olahraga pada dua kejohanan Olimpik iaitu pada tahun 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat dan 1988 di Seoul, Korea Selatan, serta turut mewakili negara dalam kejohanan Sukan Asia Tenggara.
Tambahnya, usaha memburu pingat emas Olimpik bukanlah suatu perkara yang mustahil kerana atlet negara yang bertanding di kejohanan itu bertaraf dunia dan merupakan antara yang terbaik pernah dihasilkan negara ini.
“Bermain mewakili Malaysia dalam sukan Olimpik adalah satu penghormatan yang amat besar bagi seorang atlet dan saya sendiri amat bertuah kerana dapat mewakili negara sebanyak dua kali.
“Persiapan mereka bukan hanya daripada segi fizikal tetapi juga daripada sudut mental. Namun, jika usaha memburu pingat emas tidak berjaya kali ini, kita masih ada peluang pada masa depan tetapi persediaannya perlu dimulakan sekarang,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE