SEMPORNA: Suara tangisan anak kecil di celah-celah pokok kelapa sawit berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan daripada dihurung semut di sebuah ladang sawit di Kampung Lahat Lahat, Jalan Tanjung Kapor, dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan di celah pelepah sawit oleh seorang penduduk kampung yang kemudiannya memaklumkan tentang penemuan itu kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan seorang bayi yang dipercayai baharu dilahirkan di ladang sawit di Kampung Lahat Lahat, Jalan Tanjung Kapor.

Selepas menerima maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, terdapat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui berbalut tuala di celah pelepah sawit.
“Bayi berkenaan kelihatan cukup sifat dipercayai baru dilahirkan kurang 24 jam sebelum ditemukan seorang lelaki yang merupakan penduduk kampung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, bayi seberat 2.8 kilogram dan masih hidup itu dibawa ke Hospital Semporna bagi tujuan rawatan, sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya.
Bayi yang tidak disertakan sebarang dokumen berkenaan disahkan dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Semporna untuk pemantauan rapi.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.- UTUSAN ONLINE










