TUMPAT: Kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dipandu seorang lelaki yang dipenuhi 494 kilogram ganja mampat bernilai RM1.2 juta terjunam ke dalam tali air ketika dia melarikan diri dari polis di Kampung Lambor, Wakaf Bharu, di sini semalam
Dalam kejadian pukul 9.50 malam itu, pemandunya atau transporter terbabit bagaimanapun berjaya lolos dengan cara membonceng sebuah motosikal yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, sebelum kejadian, kereta peronda polis (MPV) melihat kenderaan itu yang mencurigakan di Jalan Kampung Pasir Puteh menghala ke persimpangan lampu isyarat Chabang Empat.
Menurutnya, anggota unit MPV terbabit pada mulanya mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan namun pemandu SUV itu bertindak sebaliknya apabila memecut laju untuk melarikan diri.
“Dengan bantuan anggota Balai Polis Pengkalan Kubor, unit MPV terus mengejar suspek sehingga SUV tersebut terbabas dan terjunam ke dalam tali air. Suspek meninggalkan lokasi itu dengan membonceng sebuah motosikal.
“Polis akhirnya berjaya menangkap penunggang motosikal itu namun suspek sudah meloloskan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.
Abdullah memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas SUV itu telah menjumpai 494 kilogram ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.
“Penunggang motosikal tersebut kini tahan bagi membantu siasatan. Berpandukan semakan ke atas pendaftaran SUV tersebut, serbuan terus dibuat di dua lokasi iaitu Binjai dan Padang Tembak, Kota Bharu namun kedua-dua premis tersebut didapati kosong.
“Siasatan awal mendapati dadah ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Kelang dan jika terlepas ke pasaran, ia mampu menampung 988,000 penagih,” katanya selain memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.- UTUSAN ONLINE










