PETALING JAYA : Program Bantuan Kasih yang diwujudkan sejajar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru -baru ini menyantuni mereka yang terkesan akibat tidak dapat bekerja sekali gus hilang sumber pendapatan.
Program tersebut merupakan inisiatif Intelek Muda Nasional (Intelek) dengan kerjasama Pertubuhan Amal Global Care Revival (Amal Revival) yang mengaktifkan program tersebut dengan serta-merta dan memberi bantuan keperluan makanan asas kepada 28 orang ahli daripada golongan pengarah dan keluarga mereka di sekitar Lembah Klang.
Penerima sumbangan tersebut adalah golongan pengarah televisyen di bawah kelolaan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).
Ketua Biro Kesejahteraan Sosial FDAM, Ahmad Hashim berkata, pihaknya sangat menghargai usaha tersebut yang membantu meringankan beban mereka yang terlibat.
“Terima kasih kepada Intelek dan Amal Revival kerana dapat menyerahkan sumbangan bekalan bantuan makanan asas yang telah diuruskan dengan kadar segera dan cepat, “ ujarnya dalam satu kenyataan.
Sejak PKP berkuatkuasa pada tahun ini, Intelek menerima beberapa aduan daripada ahli Majlis (FDAM) yang mengatakan ada sebilangan ahli persatuan mereka terkesan disebabkan oleh faktor-faktor persekitaran akibat penularan wabak pandemik Covid-19.
Sebilangan warga kerja belakang tabir ini telah mengalami terputus bekalan makanan, tiada pekerjaan dan tiada wang untuk memberi keperluan harian.
Mereka mematuhi peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tidak lagi keluar bekerja seperti yang telah dijadualkan sebelum ini, namun mengalami pelbagai tekanan hidup apabila sesi penggambaran telah dibekukan sejak bermulanya PKP ini.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Media Intelek, Erni Zawawi berkata pihaknya mahu supaya tiada sesiapa yang lagi tercicir daripada menerima bantuan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang drastik yang berlaku.
“Tiada sesiapa pun tidur dalam keadaan lapar, terutamanya kanak-kanak dan bayi,” ujarnya.
Sumbangan Bantuan Kasih PKP adalah bekalan pek makanan asas termasuklah antaranya beras, minyak, gula, makanan dalam tin dan botol, dan sebagainya.


Kesemua penerima telah melalui saringan oleh FDAM manakala pek bekalan makanan itu terus diagihkan kepada semua 28 penerima secara pandu-terus (drive-thru) di serata tempat di Lembah Klang.
Sementara itu, Intelek dan Amal Revival juga menerima permintaan segera Bantuan Kasih PKP daripada pengerusi dan wakil Persatuan Bas Selangor, Putrajaya, dan Kuala Lumpur untuk 200 pengusaha dan pemandu bas dan keluarga mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Golongan pemandu bas ini daripada serata kawasan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur hanya mendapat bantuan bekalan makanan dan keperluan asas yang lain sejak PKP1.0 yang lalu.
Menurut Pengasas Amal Revival, Ahmad Fahmi Mohd Hussain, pihaknya amat berbesar hati kerana berpeluang berkongsi rezeki sekali gus dapat menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini demi kelangsungan hidup.
Sebanyak 80 set bekalan bantuan makanan asas, termasuklah antaranya beras, minyak, gula, garam, makanan dalam tin dan botol, dan sebagainya telah diserahkan kepada Pengerusi Persatuan Bas Selangor, Putrajaya, dan Kuala Lumpur, Haron Mohamad Sidek.
Yang turut hadir semasa majlis penyerahan bantuan itu ialah Yang Di Pertua Amal Revival, Ghaus Mokhtar.
Untuk membuat sumbangan ikhlas, sila salurkan kepada Persatuan Intelek Inovatif Malaysia: Ambank 8881040314612.- UTUSAN ONLINE










