KOTA KINABALU: Bank makanan antara pendekatan terbaik yang diambil oleh pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memastikan kebajikan pelajar yang berada di kampus terpelihara.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Razman Durhan berkata, tiada sebarang isu pelajar terpaksa mengikut perut kerana tiada bantuan makanan kerana pengurusan universiti memberi keutamaan kepada kebajikan pelajar yang masih berada di kampus.

Pada masa ini, sekiranya pelajar ingin mendapatkan bantuan makanan, mereka boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi mengambil bantuan makanan daripada bank makanan yang disediakan.
Di peringkat kolej kediaman juga turut menyediakan bekalan makanan seperti mi segera, minuman pek milo serta biskut kering
“Penyediaan makanan ini boleh diambil pada bila-bila masa oleh pelajar di kolej-kolej kediaman masing-masing.
“Bagi MPP pula, kami mengadakan program MPP Prihatin untuk meringankan beban pelajar di ketiga-tiga kampus iaitu kampus Induk, Labuan dan Sandakan.
“Kami menyediakan bakul makanan serta alat tulis untuk persediaan pelajar menghadapi peperiksaan akhir serta bagi menampung keperluan sepanjang keberadaan mereka di kampus,” katanya kepada Utusan Malaysia .
Jelas Razman, pelajar yang berada di kampung pada masa ini amat ternanti-nanti keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kebenaran kepada pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.
Cuti semester akan bermula tidak lama lagi kerana semesti ini akan tamat pada 25 Julai ini.
Tambahnya, usaha memberi bantuan psikososial kepada pelajar juga masih diteruskan demi menjaga kesihatan mental pelajar yang mempunyai masalah tekanan dan psikologi.
“Tidak dinafikan terdapat segelintir pelajar yang mengalami masalah ini namun bahagian bimbingan kaunseling UMS dengan cekap menguruskannya,” katanya.
Sebelum ini, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, masih terdapat seramai 4,589 pelajar UMS yang berada di kampus induk, Sandakan dan Labuan.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kebajikan pelajar yang berada di kampus tidak akan diabaikan kerana bekalan makanan sentiasa mencukupi.- UTUSAN ONLINE