Bakul makanan: Orang ramai serbu pejabat Mujahid - Utusan Malaysia

Bakul makanan: Orang ramai serbu pejabat Mujahid

MUJAHID Yusof (kanan) melihat rakyat yang mendaftar untuk mendapatkan bantuan di pusat khidmat beliau di Parit Buntar. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai cara penyampaian Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada setiap Ahli Parlimen berjumlah RM300,000 yang diumumkan semalam.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, ini berikutan rakyat amat mengharapkan bantuan itu sehingga menyangka ia sudah diterima oleh beliau sebagai Ahli Parlimen Parit Buntar.

Menurutnya, ini menyebabkan ramai yang datang ke pusat khidmat beliau di Parit Buntar kelmarin namun kecewa kerana bantuan tersebut belum diterima.

“Setelah pengumuman Perdana Menteri mengenai  Pakej Pemulihan semalam, rakyat beratur di hadapan pejabat saya.

“Saya menghubungi  Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPP) di Ipoh untuk penjelasan sebagai agensi pelaksana namun dimaklumkan tiada arahan setakat ini.

“Untuk tidak kecewakan rakyat, kami tetap menerima pendaftaran dan kami meletakkan tanda notis pemberitahuan kami belum menerima arahan daripada kerajaan mengenai  Bantuan Bakul Makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mujahid, pihaknya memang menyediakan buku daftar di luar pintu pejabat untuk rakyat yang memerlukan bantuan.

Mujahid meminta kerajaan mempercepatkan menyalurkan Bantuan Bakul Makanan kepada Ahli Parlimen untuk diberikan kepada rakyat.

“Jangan hampakan rakyat hanya dengan membuat pengumuman, perlu kotakan janji untuk kami laksanakan amanah ini.

“Saya juga tidak dimaklumkan cara bagaimana bantuan bakul makanan itu disampaikan kepada kami, jadi saya mohon penjelasan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sejumlah RM300,000 diperuntukkan kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas PKP.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN