SHAH ALAM: Ordinan Darurat perlu dibentang, dibahas dan diundi di Parlimen bagi menentukan sama ada undang-undang Proklamasi Darurat itu boleh dikuatkuasakan lagi atau dibatalkan.
Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, perkara yang terbaik dilakukan oleh kerajaan pada masa ini adalah membentang dan membahaskan Ordinan Darurat di Parlimen sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Julai lalu.
Beliau menjelaskan, Ordinan Darurat mempunyai kelebihan iaitu dalam tempoh proklamasi darurat seperti pihak tentera boleh membantu dalam urusan sekatan jalan raya, pengambilan harta-harta pihak swasta untuk dijadikan sebagai tempat kuarantin serta pemindahan personel kesihatan yang tidak perlu menggunakan kuasa birokrasi.
“Paling terbaik kerajaan sekarang, ia (Ordinan Darurat) perlu dibahaskan. Kalau tidak dibahaskan, kita tidak tahu Parlimen ini hendak teruskan atau tidak Ordinan Darurat.
“Bila kita baca di laman media sosial, ramai yang kata tidak perlu Ordinan Darurat. Jadi tidak ada masalah kalau kerajaan bahaskan. Ini yang kita hendak dengar apa yang ahli-ahli Parlimen hendak. Kalau ada yang sokong lagi hendak teruskan Ordinan Darurat, kita hendak dengar hujah mereka.
“Eloklah Parlimen teruskan perbahasan, jangan bimbang hilang undi,” katanya pada Program Bicara Pakar bertajuk Kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan secara langsung, hari ini.
Program dua jam terbabit dianjurkan Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM dengan Felo Kursi Instituasi Raja-Raja Melayu UiTM, Mohd. Yunus Abu Samah bertindak selaku moderator.
Terdahulu, Seri Paduka menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.
Seri Paduka turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan apabila darurat tidak bersambung, Jemaah Menteri memutuskan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat berkuat-kuasa.
Mengulas mengenai perkembangan terbabit, Shamrahayu memberitahu, ia jelas menunjukkan Yang di-Pertuan Agong mahu proses demokrasi itu dijalankan secara lebih makmur selain tidak mahu membuat sesuatu yang melangkaui kuasa Perlembagaan.
Ujarnya, walaupun dari segi undang-undang, Ordinan Darurat itu boleh dibatalkan di luar Parlimen maka ia perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan tetapi Baginda kata bahas. Apa yang saya faham, Baginda mahu perbahasan dalam Parlimen.
“Perbahasan itu bukan untuk lulus atau tidak, ia bagi tujuan bagi mengungkaikan atau mengekalkan. Mengungkaikan bermakna menghentikan Ordinan Darurat itu. Kalau dalam perbahasan kata tidak perlu diteruskan, tidak ada masalah. Tidak payah lah kata tidak mahu bentang kerana isu takut atau undi tidak percaya.
“Pada saya, bila Yang di-Pertuan Agong perintah dibahaskan, hendaklah demokrasi itu mengambil pendekatan untuk membahaskan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE